Kebanyakan kita mempunyai seorang rakan, kenalan atau saudara yang sering bertengkar dengan orang di sekelilingnya. Tidak kira di mana sahaja individu itu berada – samada di kalangan keluarga, tempat kerja atau perjumpaan sosial – dia akan menimbulkan kemarahan atau konflik di kalangan mereka yang berinteraksi dengan individu tersebut.
Di kancah politik negara, terdapat sebuah parti yang serupa seperti individu tersebut: parti DAP.
Hubungan DAP dengan parti-parti lawan tidak perlu huraian panjang lebar lagi. Permusuhan DAP, sebuah parti yang didominasi kaum Cina, dengan PAS yang memperjuangkan syiar Islam, telah berlarutan sejak sekian lama. DAP juga sering berbalah secara terbuka dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Hakikatnya, DAP pernah menjalinkan hubungan dengan PAS di bawah Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Dengan Bersatu pula, DAP pernah bekerjasama di bawah Pakatan Harapan sehingga Langkah Sheraton pada penghujung Feb 2020. Tetapi apabila kedua-dua parti tersebut tidak lagi sehaluan dengan DAP, maka kerjasama itu pun terlerai.
Yang peliknya, DAP bukan sahaja bergaduh dengan parti musuh. Dengan sekutu-sekutunya di dalam Kerajaan Perpaduan pun, tidak kurang konfliknya.
“Musuh” utama DAP dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri (PM) Anwar Ibrahim adalah UMNO. Sejak sekian lama, DAP tidak sehaluan dengan UMNO disebabkan perbezaan ideologi.
Bagi DAP, UMNO sebuah parti perkauman yang mengutamakan orang Melayu sebagai pemimpin politik dan ekonomi di Malaysia. Sementara itu, DAP menolak pendekatan berdasarkan ras dan menuntut keadilan dan kesamarataan bagi semua rakyat Malaysia.
Perbezaan-perbezaan ini menyebabkan konflik dan ketegangan antara DAP dan UMNO selama bertahun-tahun di arena politik Malaysia dan berlarutan hingga ke hari ini walaupun secara teori kedua-dua parti kini sehaluan.
Sebagai contoh, baru-baru ini Lim Kit Siang dari DAP dan Puad Zakarshi dari UMNO, berbalah tentang rancangan UMNO untuk meminta pembebasan Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
DAP selama ini memburuk-burukkan UMNO dan Najib dan DAP tidak dapat menerima rancangan UMNO untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi bekas PM ini.
DAP yang mempunyai 40 Ahli Dewan Rakyat, bak duri dalam daging kepada UMNO yang mempunyai 26 Ahli Parlimen. Namun, Anwar memerlukan sokongan kedua-dua parti untuk mengelakkan Langkah Sheraton 2.0.
Hakikatnya, beberapa kaji selidik kebelakangan ini menunjukkan bahawa kerajaan perpaduan semakin kehilangan sokongan Melayu, terutamanya menjelang pilihan raya di enam buah negeri yang dijadual akan diadakan pada akhir tahun ini. Ramai berpendapat ini berpunca dari sikap angkuh DAP yang sering memainkan sentimen.
Imej DAP yang tercalar dengan sikap rasisnya bukan sahaja telah membantutkan usaha Pakatan Harapan meraih sokongan Melayu, malah mengakibatkan Barisan Nasional, khasnya UMNO, kehilangan undi komuniti tersebut kepada Perikatan Nasional.
Walaupun DAP mempunyai bilangan ahli Dewan Rakyat tertinggi di dalam kerajaan perpaduan, ia telah menjadi liabiliti besar kepada Anwar, menjelang PRN dan dalam jangka masa panjang. Ini mengambilkira tren peningkatan bilangan pengundi Melayu berbanding dengan bukan Melayu yang hanya tertumpu di kawasan bandar sahaja.
DAP juga menjadi duri dalam daging kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS), walaupun kedua-dua parti sudah “berdamai” demi membentuk kerajaan pusat.
Hakikatnya, GPS masih belum memaafkan sepenuhnya bekas Menteri Kewangan dan pengerusi DAP sekarang, Lim Guan Eng, yang pernah menyatakan pada tahun 2019, bahawa Kerajaan Sarawak akan muflis dalam tiga tahun jika ia terus diperintah oleh gabungan tersebut.
Di peringkat negeri, DAP masih menjadi pihak pembangkang di Dewan Undangan Negeri walaupun kedua-dua pihak merupakan rakan sekutu di peringkat kebangsaan.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Bandar Kuching dari DAP terlibat dalam pertelingkahan dengan GPS tentang rancangan kerajaan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan butik di negeri itu. Awal tahun ini, kedua-dua pihak bertelaga mengenai rancangan kerajaan negeri untuk membina tiang bendera bernilai RM30 juta di Kuching.
GPS mempunyai 23 Ahli Parlimen dan dianggap sebagai “deposit selamat” Anwar. Tetapi kesabaran gabungan itu terhadap DAP nyata semakin tipis kerana parti tersebut enggan memainkan fungsi sebagai team player tetapi lebih cenderung dengan pendekatan bersifat konfrontasi and angkuh.
DAP bukan hanya sahaja bergaduh dengan UMNO dan GPS. DAP masih berdendam dengan musuh ketat lamanya, MCA. Baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden MCA berperang mulut tentang kos tiket penerbangan yang tinggi ke Tawau sempena cuti Aidilfitri.
Kedua-dua pihak juga bertikam lidah tentang isu sama ada Menteri Sumber Manusia DAP, V Sivakumar, harus melepaskan jawatannya selepas pegawai-pegawai beliau terlibat dalam siasatan kes rasuah.
Dengan PKR, umum mengetahui bahawa pemimpin atasan parti tersebut tidak selesa dengan pendirian DAP yang terang-terang menentang usaha melepaskan Najib serta pelantikan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Anwar.
Jelas, DAP sering menimbulkan konflik tidak kira dengan lawan ataupun kawan. Fenomena ini bukan perkara baharu dan telah berlarutan sejak berdekad-dekad lagi.
Seperti juga individu yang disebut di mukadimah artikel ini, proses muhasabah diri, dan penilaian jujur harus dibuat.
Mungkin individu tersebut mempunyai ego besar dan tidak boleh ditegur. Atau individu tersebut merasakan dia lah orang yang paling pandai dan orang di sekeliling semuanya bodoh. Hakikatnya, punca masalah terletak di individu tersebut dan bukan orang di sekelilingnya.
Bagi DAP, secara jujur, jawapannya sudah amat jelas. Persoalannya samada parti itu ingin menerima hakikat atau tidak.
Daniel Mohd Shukri
Petaling Jaya
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment