Kuala Lumpur: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sekali lagi hari ini atas lima pertuduhan terbabit pengubahan wang haram berjumlah RM1.06 juta.
Bagaimanapun, Azlan, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
"Faham (pertuduhan) dan tidak (bersalah)," katanya.
Mengikut pertuduhan, Azlan menerima hasil aktiviti haram iaitu wang RM208,339.9 ,RM196,651, RM224,404.4, RM222,811.95 dan RM207,468 Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd, Aidil Travel & Tours Sdn Bhd dan Abdul Rahim Halim yang mewakili syarikat Aidil Travel & Tours Sdn Bhd menerusi wang tunai dan empat cek yang dimasukkan ke akaun Maybank serta CIMB milik tertuduh.
Kesalahan itu dilakukan di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya, Kementerian Kewangan, Persiaran Perdana, Presint 2 dan Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur, Jalan Sultan Ismail, Chow Kit, antara antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017.
Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid.
Ahmad Akram dalam hujahnya memohon mahkamah supaya dapat memberikan satu jaminan yang maksimum kepada tertuduh iaitu RM50,000 dengan seorang penjamin.
"Kesalahan dipertuduhkan dalam kategori tidak boleh dijamin dan ada undang-undang yang mengikatnya mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah (APC). Bagaimanapun kita tidak membantah jika hakim melaksanakan kuasa budi bicara melepaskan tertuduh dengan jaminan.
"Saya tak mohon syarat tambahan pasport diserahkan kerana tertuduh dituduh di Mahkamah Sesyen Kangar pada Isnin lalu dan memerintahkan pasport disimpan selamat oleh mahkamah berkenaan.
"Tarikh sebutan akan datang pihak-pihak (pendakwaan dan pembelaan) bersetuju pada 9 Jun ini untuk sebutan semula kes. Saya mohon kes di Kangar dipindahkan ke Kuala Lumpur untuk sebutan kes dan pada tarikh itu minta dibicarakan di sini," katanya.
Burhanudeen tidak membantah cadangan jaminan dibuat pendakwaan.
"Kami sudah berbincang dengan pendakwaan sebelum perbicaraan pagi ini dan bersetuju cadangan jaminan RM50,000.
"Jumlah itu adalah sama seperti jaminan di Mahkamah Sesyen Kangar," katanya.
Hakim kemudian membenarkan jaminan seperti ditawarkan dan menetapkan 9 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Kelmarin, Azlan tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir Perlis.
Azlan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pauh pada 2013 hingga 2018, sebelum memenangi kerusi DUN Bintong dari 2018 hingga tahun lalu, sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga Menteri Besar Perlis dari 2013 ke 2022 juga gagal mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Kangar pada pemilihan parti itu, baru-baru ini.
-myMetro
No comments:
Post a Comment