Mana-mana parti yang melakukan diskriminasi dan penindasan bakal ditolak rakyat dalam pilihan raya kelak, kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menteri Besar Kedah itu memberi peringatan kepada kerajaan agar berlaku adil dan tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh UMNO-Barisan Nasional (BN) sebelum ini sehingga ditolak pada dua Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini walaupun sudah lama memerintah negara.
“Sampai ke situ depa sanggup buat. Bangsa yang melakukan diskriminasi, parti berpakat menganaktirikan orang lain, dijatuhkan selepas puluhan tahun berkuasa.
“Barisan Nasional (BN) akhirnya tumbang selepas mereka mendiskriminasikan Kelantan.
“BN tumbang selepas 50 tahun atas sikap diskriminasi akibat maklumat yang lewat, tetapi ketika ini tindakan Perdana Menteri akan segera diketahui rakyat Baling dalam waktu sangat singkat walaupun beliau berada di China.
“Parti, pemimpin yang mendiskriminasi, melakukan penindasan atau ketidakadilan akan ditolak pada setiap pilihan raya.
“Kalau bukan pada pilihan raya pun, akan ditumbangkan secara berperlembagaan melalui Parlimen kerana maklumat sedemikian sangat cepat tersebar,” katanya pada sidang media Majlis Iftar Anak Kedah di Perantauan malam tadi.
Dalam pada itu, Sanusi juga mendakwa ada usaha terancang untuk menyingkirnya sebagai Menteri Besar yang mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara.
Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Kewangan Negara perlu diketuai Perdana Menteri atau mana-mana menteri dilantik, manakala setiap negeri diwakili individu diperkenan Sultan atau Yang di-Pertua Negeri.
Enggan mendedahkan pihak didakwa mengetuai gerakan itu, beliau menjelaskan, ada usaha menamakan Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Norizan Khazali sebagai penggantinya dalam Majlis Kewangan Negara.
Sanusi berkata, gerakan itu bertentangan dengan konvensyen Majlis Kewangan Negeri yang dipengerusikan Perdana Menteri, diurus selia Menteri Kewangan dan dianggotai Jemaah Menteri serta wakil negeri dalam kalangan Menteri Besar atau Ketua Menteri sebelum ini.
“Saya bercakap sebelum benda ini berlaku dan saya tak boleh biarkan perkara seperti ini berlaku. Kalau orang minta bukti memanglah tiada sebab gerakan ini belum menjadi realiti.
“Depa (mereka) akan kata cakap tak ada bukti, nak bagi bukti macam mana kalau benda belum jadi tetapi saya akan pastikan gerakan ini tak akan berlaku,” katanya lagi.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment