Tokyo: Syarikat pemula berpangkalan di Jepun, ispace mengakui percubaannya untuk menjadi syarikat pertama berjaya mendarat di bulan berakhir dengan kegagalan, tetapi berjanji untuk meneruskan misi baharu.
Kapal angkasa tanpa pemandu Misi 1 Hakuto-R dijadualkan mendarat di permukaan bulan semalam, tetapi kira-kira 25 minit selepas pendaratan itu berlaku, firma berkenaan tidak dapat menghubunginya.
"Ada kebarangkalian tinggi kapal angkasa itu akhirnya melakukan pendaratan keras di permukaan bulan," kata ispace dalam satu kenyataan.
Syarikat itu berkata, juruteranya sedang berusaha untuk menentukan sebab pendaratan itu gagal.
"Walaupun kami tidak jangka untuk melengkapkan pendaratan bulan pada masa ini, kami percaya sudah mencapai sepenuhnya kepentingan misi ini selepas memperoleh banyak data dan pengalaman.
"Apa yang penting adalah menyalurkan pengetahuan dan pembelajaran ini kembali kepada Misi 2 dan seterusnya," kata Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas ispace, Takeshi Hakamada.
Beliau berkata, firma itu kini sedang membangunkan dua lagi percubaan untuk mendarat di bulan.
Insiden itu adalah penamat mengecewakan kepada misi itu selepas pelancaran kapal angkasa itu menerusi roket SpaceX, Falcon 9, Disember lalu.
Roket itu membawa muatan daripada beberapa negara, termasuk rover dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Memiliki ketinggian lebih dua meter dan seberat 340 kilogram (kg), kapal angkasa itu memasuki orbit bulan bulan lalu.
Pendaratan Hakuto-R adalah automatik sepenuhnya dan kapal angkasa itu sepatutnya mewujudkan semula komunikasi sebaik sahaja ia mendarat di permukaan bulan.
-myMetro
No comments:
Post a Comment