Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri paling teruk jika gagal menunaikan janji reformasi yang telah dibuat Pakatan Harapan (PH) selama ini, kata kumpulan hak asasi manusia Suaram.
Menyifatkan kerajaan lambat dalam memperkenalkan dasar berkaitan melindungi hak asasi manusia, pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy mempersoalkan tekad politik kerajaan untuk mengubah undang-undang zalim dan kuno di negara ini.
Dia memberitahu pemberita petang ini bahawa mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada Anwar, yang telah menjadi mangsa kezaliman polis dan mangsa penahanan tanpa bicara, untuk melakukan sesuatu sekarang ketia dia mempunyai kuasa.
“Jadi, sebagai bekas mangsa, (dan dikenali sebagai) Bapa Reformasi, harapan itu (tinggi).
“... apa yang kita nak lihat antara menteri sebelum ini dan perdana menteri sekarang, saya nak kata Anwar adalah pilihan yang lebih baik berbanding PM sebelum ini, kerana agenda reformasi dan latar belakangnya.
"Tetapi dengan latar belakang itu, jika dia gagal melaksanakannya, dia akan menjadi perdana menteri yang paling teruk. Kerana perdana menteri sebelum ini tidak banyak memberikan janji dari segi reformasi dan semua itu," katanya semasa persidangan yang diadakan di Kuala Lumpur untuk melancarkan Laporan Hak Asasi Manusia Malaysia Suaram 2022 hari ini.
Sevan diminta pandangannya terhadap pentadbiran persekutuan pimpinan Anwar, termasuk sama ada Suaram berpuas hati dengan usaha hak asasi manusia yang telah diambil oleh kerajaan sejak ia berkuasa pada November tahun lalu.
Menurut Sevan, Anwar sepatutnya menjadi pemimpin yang boleh dicontohi dalam memperkenalkan reformasi ke dalam agenda negara terutama dari segi undang-undang yang tidak baik, penahanan tanpa bicara dan penyeksaan dalam tahanan.
Tambahnya, ramai daripada anggota kabinet ketika ini juga merupakan sebahagian daripada kumpulan pembela hak asasi semasa mereka menjadi pembangkang.
"Mesej terakhir yang kami dapat dalam media ialah reformasi itu masih belum berada dalam senarai undang-undang yang ingin dipinda oleh kerajaan," tegasnya.
Antara undang-undang yang dirujuk oleh Sevan dan Suaram termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), Akta Pencegahan Jenayah, Akta Pencegahan Keganasan, dan Akta Dadah Berbahaya, yang masih mempunyai klausa yang memberikan kuasa untuk menahan suspek dalam tempoh yang panjang tanpa perlu mendakwa mereka di mahkamah.
NGO itu mengkritik Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail kerana mengatakan bahawa Sosma diperlukan dan kerajaan tidak akan memansuhkan akta itu.
Sevan mendakwa Saifuddin juga masih belum menghubungi pihak berkepentingan seperti Suaram untuk membincangkan pembaharuan undang-undang itu.
Bagaimanapun, Sevan memuji Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said dan timbalannya, serta timbalan Saifuddin, yang menurutnya telah mengadakan sesi libat urus dengan mereka untuk membincangkan agenda reformasi yang penting.
Sevan berkata, kerajaan belum boleh mendabik dada selepas memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini kerana menurutnya isu hukuman mati hanyalah salah satu daripada banyak lagi undang-undang penting yang perlu diperbaharui.
Ia termasuk Akta Hasutan, yang Suaram percaya perlu dimansuhkan kerana ia menyekat kebebasan bersuara di negara ini.
-MalaysiaKini
No comments:
Post a Comment