Kumpulan hak asasi manusia itu mengingatkan Putrajaya bahawa pentadbiran terdahulu menyelesaikan kerja asas memansuh atau meminda undang-undang zalim.
KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) membidas kerajaan disebabkan pembaharuan hak asasi manusia “yang perlahan” di negara ini.
Pengarah eksekutif kumpulan hak asasi manusia itu, Sevan Doraisamy, berkata Putrajaya tiada banyak alasan untuk tidak menyegerakan pembaharuan terhadap beberapa undang-undang memandangkan pentadbiran terdahulu sudah menyelesaikan kerja asas untuk memindanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengutamakan pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Hasutan, serta menggubal langkah mencegah kematian dalam tahanan.
“Walaupun kita menyaksikan hukuman mati mandatori dimansuhkan, ia sesuatu yang mudah dilaksanakan,” katanya pada pelancaran Laporan Hak Asasi Manusia Suaram 2022 di sini hari ini.
“Kita tidak boleh menyokong (pembaharuan) menggunakan sesuatu yang mudah dilaksanakan kerana ada banyak lagi undang-undang yang digunakan sejak merdeka, perlu dipinda.”
Sevan berkata, jangkaannya terhadap pembaharuan hak asasi manusia di bawah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim adalah tinggi, memandangkan pengerusi Pakatan Harapan itu dilabelkan “bapa reformasi” dan merupakan mangsa penahanan tanpa bicara.
Beliau berkata, Anwar akan menjadi “perdana menteri paling teruk” jika gagal melaksanakan pembaharuan dijanjikannya.
Beliau mempersoalkan jika Anwar mempunyai azam politik dan keberanian untuk meneliti pindaan undang-undang berkaitan bagi meningkatkan hak asasi manusia di negara ini.
Bagaimanapun, katanya, Suaram akan mengelak membuat spekulasi mengenai perkara yang menghalang kerajaan daripada meneruskan pembaharuan.
Beliau berkata, Putrajaya perlu mengadakan libat urus dengan NGO dan organisasi masyarakat sivil berkaitan untuk memanfaatkan kepakaran kumpulan berkenaan.-FMT
No comments:
Post a Comment