Washington: Berlian merah jambu cerah dan warnanya yang tiada tandingan dijangka dijual pada harga AS$35 juta (kira-kira RM154 juta) pada lelongan di New York.
Menurut rumah lelongan Sotheby's, berlian dinamakan The Eternal Pink seberat 10.57 karat itu akan dilelong pada Jun ini.
Batu permata yang sangat jarang diperoleh itu ditemukan firma Afrika Selatan, De Beers, di salah satu lombong di Botswana, empat tahun lalu.
Menurut Sotheby's, ia berlian paling berharga yang pernah muncul di lelongan dan secara rasminya dikelaskan sebagai warna merah jambu keunguan.
Rumah lelongan itu dalam kenyataan berkata, Naib Presiden Eksekutif GIA Tom Moses menggelar The Eternal Pink itu sebagai spesimen menakjubkan dan garisan halus digabungkan dengan warna menjadikannya sebagai antara permata paling luar biasa di dunia.
Ketua Bahagian Barangan Kemas Sotheby's, Quig Bruning berkata, batu itu tersenarai sebagai berlian paling penting dalam sejarah.
"Harga berlian menurut pakar gemologi ditentukan oleh 4C (karat, potongan, warna dan kejelasan) sebelum penilaian akhir di bawah kanta pembesar untuk melihat sebarang cela dalaman atau kecacatan pada batu.
Dalam pada itu, warnanya juga diklasifikasi sebagai fancy vivid iaitu gred tertinggi warna pekat yang dicapai oleh hanya empat peratus berlian merah jambu.
"Warna merah jambu paling cantik dalam berlian yang pernah saya lihat atau berada di pasaran," katanya.
Menurut Bruning, The Eternal Pink yang jarang ditemukan itu menjadikannya setanding dengan karya agung seni oleh Magritte atau Warhol.
Nilai berlian merah jambu melonjak sejak kebelakangan ini disebabkan oleh kekurangan bekalan, susulan penutupan Argyle Mine Australia pada 2020 yang sebelum ini menghasilkan berlian merah jambu di dunia.
Menurut Australian Diamond Portfolio, harga purata berlian berwarna melonjak 30 peratus hanya dalam tempoh 12 bulan sejak Jun 2021.
-myMetro
No comments:
Post a Comment