Shah Alam: Sudah hampir dua tahun kejadian kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman berlaku namun ia masih misteri dan terus kekal menjadi tanda tanya.
Apa yang berlaku sebenarnya kepada beliau yang sehingga kini masih belum ada petunjuk baharu sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia.
Pelbagai usaha dilakukan pihak polis untuk mengesan keberadaan Zalina Azman, namun sehingga kini tiada sebarang petunjuk baharu yang dapat merungkaikan misteri kehilangan beliau yang mengejutkan negara selepas berita kehilangannya itu diuar-uarkan pihak polis tahun lalu.
Tidak cukup dengan itu, pelbagai andaian oleh dibuat oleh netizen berhubung kehilangannya namun sehingga kini tiada satu pun yang dapat disahkan.
Sehingga kini, tiada petunjuk baharu berhubung kehilangannya pada November 2021 walaupun sudah tiga kali pasukan penyiasat ke rumah dimiliki personaliti terbabit.
Wartawan sekali lagi membuat tinjauan di rumah Zalina di Seksyen 3 di sini namun mendapati keadaan rumah terbabit lengang dan sunyi selain sudah dipenuhi lalang.
Malah, pintu pagar juga ditutup rapat apabia kerja pengubahsuaian kediaman itu berhenti selepas beliau hilang.
Seorang penghuni kawasan itu, Mohammad Bokhari Shariff, 77, yang juga pemilik pusat tahfiz mengakui tidak pernah bersua dengan Zalina sejak wanita berkenaan pindah di situ.
"Kami sebenarnya belum sempat bertemu dengannya kerana dia hanya duduk sekejap sahaja selepas membeli kediaman itu.
"Dia kemudian mengubah suai kediaman itu malah saya ada juga menyemak dengan masjid di sini sama ada dia ada bertemu pihak Ahli Jawatankuasa memaklumkan dia berpindah ke sini, namun mereka juga memberitahu dia belum berdaftar sebagai kariah di sini," katanya.
Menurutnya, sebelum ini, kawasan itu memang menjadi tumpuan selepas polis membuat hebahan kehilangannya di mana dia melihat beberapa kali polis datang ke kediaman itu menjalankan siasatan.
"Namun, selepas itu kediaman itu kembali sunyi namun setakat ini saya lihat barangan di kediaman itu tidak terusik malah tidak dicuri.
"Selalunya rumah tinggal ini akan menjadi sasaran mereka mencuri, namun setakat ini ia tidak berlaku," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan Klasifikasi Orang Hilang sentiasa dalam radar polis untuk kesan sebarang perkembangan baru.
"Proses ini akan berlaku sehingga orang/mangsa terbabit dijumpai dan kita tidak pernah menutup kes ini," katanya.
Pada Julai tahun lalu, berita kehilangan personaliti berkenaan dikongsikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerusi satu laporan.
Dalam laporan berkenaan, Zalina disifatkan berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan beralamat akhir di Seksyen 3, Shah Alam, Selangor.
Kali terakhir anak kepada bekas personaliti TV3 itu berhubung dengan ibunya adalah pada Julai tahun lalu.
-myMetro
No comments:
Post a Comment