DIANGGARKAN bilangan pesakit buah pinggang peringkat akhir (ESKD) yang menjalani dialisis di Malaysia bakal mencecah sehingga 106,000 orang pada 2040.


Angka itu bukan sesuatu yang mustahil memandangkan penyakit buah pinggang kronik dalam kalangan rakyat Malaysia telah bertambah daripada 9.07 peratus pada 2011 kepada 15.48 peratus pada 2018.


Ia menunjukkan peningkatan kes sebanyak 70 peratus hanya dalam tempoh tujuh tahun. Kos dialisis yang tinggi turut menambah beban penjagaan kesihatan dan ekonomi negara apabila seramai 50,150 pesakit dilaporkan telah menjalani dialisis pada 2020.


Pemindahan buah pinggang


Pemindahan buah pinggang sebelum memulakan dialisis (pre-emptive) memberikan hasil terbaik dan boleh mengelakkan sebarang komplikasi timbul daripada dialisis kronik.


Oleh itu, semua pesakit yang baru didiagnosis dengan ESKD harus mengambil kira pilihan untuk melakukan pemindahan buah pinggang sebelum memilih menjalani dialisis bagi jangka masa panjang.


Menurut Pakar Perunding Nefrologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Wong Hin Seng, kelebihan pemindahan buah pinggang yang paling ketara kepada pesakit dan keluarga ialah mereka tidak perlu lagi mengatur kehidupan seharian mengikut jadual dialisis pesakit.


“Pesakit yang menjalani hemodialisis memperuntukkan masa kira-kira empat jam di pusat hemodialisis selama tiga kali seminggu manakala mereka yang menjalani dialisis peritoneal perlu meluangkan masa lebih kurang setengah jam sebanyak empat kali sehari untuk melakukan pertukaran.


 “Selain menjalani gaya hidup sihat, penerima buah pinggang perlu konsisten mengambil ubat imunosupresan sepanjang hayat bagi memastikan badan mereka tidak menolak buah pinggang yang didermakan,” jelasnya.


Walaupun pemindahan buah pinggang mempunyai banyak kelebihan, pesakit dan penderma perlu sedar bahawa buah pinggang yang didermakan itu mungkin tidak kekal selama-lamanya.


Secara purata, buah pinggang daripada penderma hidup mampu bertahan antara 15 hingga 20 tahun dan kadar kelangsungan hidup selama lima tahun bagi mereka yang menjalani pemindahan buah pinggang adalah sebanyak 90 peratus.


Ini menunjukkan hasil yang jauh lebih baik daripada dialisis. Secara umumnya, hanya separuh sahaja pesakit mampu hidup selepas lima tahun menjalani dialisis.


Penderma hidup atau selepas kematian


Tambah beliau, organ daripada penderma hidup yang telah dinilai kesesuaiannya adalah lebih baik buat pesakit dan pembedahan pemindahan boleh dilakukan secara terancang.


“Penderma hidup boleh mendermakan buah pinggang kepada pasangan dan saudara darjah pertama atau kedua mereka.


“Saudara darjah pertama ialah ibu bapa, anak atau adik-beradik lelaki manakala saudara darjah kedua ialah datuk, nenek, cucu, ibu saudara, bapa saudara, anak saudara atau saudara seibu atau sebapa.


“Penderma yang masih hidup juga boleh menderma organ kepada saudara jauh atau bukan ahli keluarga mereka, namun perlu mendapat kelulusan daripada Unrelated Transplant Approval Committee (UTAC), iaitu jawatankuasa bebas di bawah Kementerian Kesihatan,” ujarnya.


Disebabkan kekurangan penderma organ selepas kematian di negara ini, purata menunggu untuk pesakit dialisis menerima buah pinggang boleh menjangkau lebih 10 tahun.


Kebanyakan pesakit dialisis ini akhirnya meninggal dunia sementara menunggu organ tersebut.


Tambahan pula, penderma organ selepas kematian berkemungkinan mengalami kecederaan buah pinggang akut sebelum perolehan organ. Oleh itu, buah pinggang daripada penderma organ selepas kematian secara amnya tidak bertahan lama seperti buah pinggang daripada penderma hidup.


Sungguhpun begitu, pesakit dialisis kronik yang menerima buah pinggang daripada penderma organ selepas kematian masih mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk hidup lebih lama dan dengan lebih baik berbanding mereka yang kekal menjalani dialisis kronik.


-RELEVAN.COM.MY