Pada Julai 2018, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO menyokong pelantikan calon PH sebagai Speaker DUN. Tindakan ini membantu mengukuhkan kuasa pemerintahan PH di negeri tersebut. Sokongan daripada UMNO kepada kerajaan negeri pimpinan PH itu boleh disifatkan sebagai kerjasama pertama antara PH dan UMNO di DUN Kedah.
Pada November tahun sama, ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail mengumumkan keluar dari UMNO. Beliau pilih untuk menjadi ADUN Bebas tetapi menyokong kerajaan PH. Kemudian, beliau diterima sebagai ahli Bersatu. Dengan ini, bilangan ADUN PH bertambah daripada 18 menjadi 19.
Namun, selepas berlaku ‘Langkah Sheraton’, empat ADUN Bersatu menarik diri daripada kerajaan negeri Kedah pada Mei 2022. Pada masa sama, dua ADUN dari PKR keluar parti dan bertukar haluan menyokong gagasan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dengan itu, PH tinggal 13 ADUN di Kedah. Kerajaan negeri pimpinan PH terus berkubur. Tampuk pemerintahan negeri itu kemudiannya diambil alih oleh gabungan Pas (15 kerusi) dan Bersatu (6 kerusi). PN mula memerintah Kedah dengan menguasai sejumlah 21 kerusi.
Melalui tinjauan, kedua-dua gagasan pemerintah dan pembangkang di Kedah memperlihatkan kekuatan yang hampir sama dan masing-masing berpeluang tinggi untuk merebut kemenangan dalam PRN akan datang.
Kejayaan besar Pas dan Bersatu merebut 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah dalam PRU15 sangat memberangsangkan para penyokong PN. Namun, sekiranya PH dan Barisan Nasional (BN) sanggup mengintegrasikan langkah dan strategi tepat, tidak mustahil gagasan gabungan itu menundukkan PN di Kedah.
Dalam PRN lepas, PH menang 12 kerusi DUN Kedah yang ada kira-kira 20 peratus pengundi Cina. Dengan kata lain, pengundi Cina berdaya mempengaruhi keputusan satu pertiga daripada sejumlah 36 kerusi DUN Kedah.
Meskipun UMNO hanya merampas tiga kerusi DUN di Kedah, parti itu tewas kepada Pas dengan margin kecil dalam 11 kerusi. Dalam PRN akan datang, dengan bantuan PH, UMNO barangkali boleh menawan semula beberapa kerusi dimilikinya dahulu.
TIRAI BAHARU
Bagaimanapun, dalam tiga kerusi DUN dimenangi UMNO dahulunya, seorang ADUN telah pun melompat ke Bersatu. Dua kerusi lain pula dimenangi dengan lebihan undi yang tidak banyak. Berhadapan dengan PN yang semakin kuat mengancam, UMNO dilihat sukar untuk bangkit semula dalam PRN akan datang.
Bagi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, PRN Kedah dianggap sebagai satu pertempuran yang dapat membantu beliau membuktikan ketokohannya dalam memimpin parti itu. Memandangkan dua kerusi Parlimen yang menjadi cengkaman UMNO dalam PRU14 telah jatuh ke tangan PN dalam PRU15, maka cabaran terbesar Presiden UMNO sekarang ialah membangkitkan semula UMNO dari lubuk kancah.
UMNO berkemungkinan menambah kerusi kemenangannya dalam DUN Kedah. Akan tetapi, jikalau ia masih gagal mengembalikan kekuasaan memerintah di DUN Kedah, maka kegagalan itu akan mengikis kredibiliti dan prestij peribadi Ahmad Zahid dalam UMNO.
Sekiranya kemenangan di DUN Kedah terlaksana melalui gemblengan tenaga, maka ia akan membuka tirai baharu untuk kerjasama yang lebih erat antara PH dan UMNO pada masa hadapan. Sebaliknya, jika percubaan mereka itu gagal dan tidak berhasil dalam PRN Kedah, hubungan kedua-dua gagasan politik itu akan dilanda pelbagai impak tidak menentu.
Pelaksanaan beberapa dasar yang mendukacitakan warga negeri bukan Melayu oleh kerajaan negeri Kedah pimpinan Pas seperti penutupan kedai judi dan kedai loteri di negeri tersebut mungkin membawa kesan negatif kepada PN. Tindakan tidak bertoleransi itu akan mempengaruhi sikap pengundi bukan Islam terhadap kerajaan negeri PN.
Walaupun mendapat sokongan padu pengundi bukan Melayu ditambah dengan undi penyokong UMNO, gabungan undi yang diraih PH dan BN belum tentu dapat menumbangkan PN.
Dalam kesemua 15 kerusi Parlimen Kedah, jika undi perolehan PH dan BN dicampurkan, mereka hanya mengatasi PN dalam dua kerusi. Ini menunjukkan PN memiliki kekuatan yang sangat teguh hampir di seluruh Kedah.
Berbanding dengan PRN di lima negeri lain, pertempuran di Kedah diramalkan paling sengit dan merupakan negeri yang mungkin terjadinya insiden perubahan kerajaan. Namun begitu, PN didapati masih memiliki beberapa kelebihan kerana gagasan itu sedang memerintah di Kedah.
Tidak dapat disangkal lagi, kedua-dua gagasan politik pemerintah dan pembangkang masing-masing tidak sabar-sabar untuk merebut kemenangan besar di DUN Kedah.
Bagi PH dan BN, kemenangan di Kedah merupakan peluang terbaik bagi mereka mengekang perluasan kejutan gelombang hijau secara berkesan dan menstabilkan kerajaan perpaduan. Bagi PN pula, kemenangan dalam PRN Kedah akan membuka jalan lebih luas untuk mereka menawan Putrajaya dalam PRU16.
Para pengundi bukan Melayu di Kedah dijangka memihak kepada PH dan BN dalam PRN akan datang kerana kurang berpuas hati dengan pentadbiran PN.
Namun, seganas mana ombak akan melanda landskap politik Kedah, ia bergantung juga kepada keupayaan UMNO menarik seberapa banyak undi Melayu yang boleh. – UTUSAN
DR. Tee Beng Lee
Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia
-Anak Sungai Derhaka
No comments:
Post a Comment