Saya ingin berkongsi pengalaman sebagai rakyat Malaysia yang mengharungi usia remaja dan muda pada sekitar tahun 80an dan 90an, pada Ketika itu saya tidak terlibat mahupun menganggotai mana-mana parti politik kerana saya selesa dengan apa yang berlaku disekeliling saya.
Saya hidup di dalam negara yang ekonominya bagus dan berkembang, pembangunannya yang sentiasa bergerak ke arah lebih maju dan pemimpin negara yang bejaya membuat saya berasa bangga menjadi rakyatnya.
Maka saya merasakan Perdana Menteri Malaysia ke 4 (PM4) pada ketika itu dan barisan pentadbirannya, telah berjaya dalam tugas mereka, dan saya hanya perlu menjadi rakyat yang baik, patuh undang-undang dan menjalankan tugas sebaiknya sebagai sumbangan kecil saya kepada negara.
Terus-terang saya amat bangga mengakui sebagai rakyat Malaysia. Kerana Malaysia ketika itu di sanjung dan dihormati di dunia luar, terutamanya negara-negara Arab. Dan saya sentiasa menganggap standard dan kemajuan Indonesia dan Thailand adalah lebih rendah dari kita.
Ditambah dengan kisah-kisah bagaimana Malaysia mengambil alih Guthrie London, diikuti dengan Dasar Pandang ke Timur, bagaimana Malaysia mempertahankan Islam Bosnia dan nasib Palestin, cara Malaysia menangani krisis kewangan 1997/98. Ditambah dengan pembangunan pesat, naiknya KLCC dan Petronas Twin Tower, siapnya Lebuh Raya Utara Selatan, Lapangan Terbang Sepang, kita pun ada F1 Grand Prix.
Namun yang amat memberi semangat dan kebanggaan ialah apabila melihat Perdana Menteri Malaysia berucap di pentas Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu dan menegur negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan Israel mengenai ketidak adilan mereka dan kezaliman mereka ke atas nunia Islam dan Palestin, meremang bulu roma.
Apabila, PM4 menyerahkan tugas kepada PM5, terdapat harapan yang besar kerana Tun Abdullah Ahmad Badawi mempunyai karakter yang bersih dan diharap mampu meneruskan kemajuan negara ke arah lebih hebat lagi. Malangnya, ia tidak berlaku.
Pada ketika itu saya bertugas sebagai Pengurus disebuah cawangan bank yang pelanggan akaun perniagaannya 90% adalah kaum Cina.
Operasi perbankan Ketika itu masih banyak dilakukan secara manual. Jadi kami biasa memproses ribuan keping cek sehari, selepas satu tahun PM5 mengambil alih, jumlah cek berkurangan mungkin tinggal 40% ke 50% dari jumlah biasa, ini menunjukkan peniaga tidak berurus niaga diluar sana.
Oleh kerana boleh berbahasa Mandarin, pelanggan bank amat selesa untuk berkongsi cerita. Mereka merungut, semasa PM4 banyak projek pembangunan dan perniagaan amat bagus, dan saya sendiri dapat melihat bagaimana sesetengah mereka berjaya. Tapi PM5 kali ini, tiada peluang perniagaan yang banyak.
Jadi, jika kita imbau kembali, dari PM5, PM6, PM8, PM9 dan sekarang PM10. Perasaan kebanggaan menjadi rakyat Malaysia telah hilang. Malah timbul perasaan malu pula.
Seluruh dunia sekarang mengenali Malaysia sebagai negara yang dipimpin oleh pemimpin korup, sehingga bekas PM6 terbukti bersalah dan dipenjarakan. Kini Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang dipimpin oleh bekas banduan yang di penjara dua kali, sekali atas kesalahan penyalahan guna kuasa dan sekali lagi kesalahan liwat.
Atas dasar inilah juga saya menceburkan diri dalam politik, walaupun diperingkat kecil-kecilan, namun semangat untuk menyumbang agar negara tercinta ini hebat kembali amat kuat sekali.
Supaya anak cucu akan dapat menikmatinya seperti mana kita sudah lalui di era 80an dan 90an dahulu.
SM Azman Mohd Hashim
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili malayadaily.com
No comments:
Post a Comment