BALIK PULAU: Polis menahan seorang lelaki dua hari lalu kerana dipercayai menjadi “keldai akaun” kepada sindiket penipuan sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM83,400.
IPD Barat Daya dalam kenyataan berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Barat Daya di tepi jalan di Bayan Lepas.
“Bertindak hasil maklumat dan risikan dijalankan, polis menahan lelaki itu kerana disyaki menjadi ‘keldai akaun’ oleh sindiket dalam penipuan menyamar sebagai Telekom Malaysia dan pegawai polis.
“Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah RM83,400 membabitkan kes dilaporkan sejak awal tahun ini,” menurut kenyataan.
Lelaki yang bekerja sendiri itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-FMT
No comments:
Post a Comment