Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini membidas DAP berhubung respons parti itu terhadap pembebasan yang diberikan kepada Ahmad Zahid Hamidi dalam kes Yayasan Akalbudi, menggelarnya sebagai "anjing suruhan dan membiarkan penyalahgunaan kuasa”.
Dalam catatan di Instagram membalas respons Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, beliau berkata DAP "tiada lagi sempadan merah".
"Lebih teruk daripada apa yang mereka gunakan untuk menuduh MCA dulu," tambahnya.
"Anjing suruhan dan membiarkan penyalahgunaan kuasa.
"Tapi mereka tahu ia tidak penting. 95% pengundi Cina masih akan terus menyokong mereka."
Loke dalam satu kenyataan lewat malam tadi berkata peguam negara yang akan bersara Idrus Harun harus menjelaskan langkah kerajaan untuk menggugurkan 47 pertuduhan rasuah terhadap Zahid yang juga timbalan perdana menteri dan presiden Umno.
Beliau berkata Idrus harus menjelaskan secara terbuka faktor-faktor yang menyebabkan tindakan Jabatan Peguam Negara memohon supaya presiden Umno itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
Beliau berkata permohonan DNAA adalah prerogratif peguam negara untuk “menamatkan prosiding sementara membuat siasatan lebih terperinci”.
Zahid berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan berpuluh juta ringgit milik yayasan kebajikan itu.
Beliau diberi penghakiman DNAA selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, yang dilantik bulan lepas untuk menggantikan Raja Rozela Raja Toran yang secara tiba-tiba mengumumkan untuk "bersara awal", memaklumkan Hakim Collin Lawrence Sequerah mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk memberhentikan semua prosiding terhadap Zahid.
-MalaysiaNow
No comments:
Post a Comment