Seorang ahli akademik berkata tindakan timbalan menteri itu juga menyebabkan polis menyiasat kesalahan yang tidak wujud.
PETALING JAYA: Seorang ahli akademik menggesa Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh memfokuskan strategi kawalan harga berbanding membuang masa polis menyiasat perkara yang remeh temeh.
Ramzah Dambul dari sebuah institusi pendidikan tempatan juga mengingatkan Fuziah bahawa polis mempunyai tugas yang lebih penting, selain tidak perlu melibatkan mereka dalam “mengurus emosi pemimpin politik yang koyak kerana umpat keji netizen”.
“(Polis juga) kena buka kertas siasatan untuk menyiasat kesalahan yang tidak wujud,” katanya di Facebook.
Ramzah berkata demikian mengulas laporan polis yang akan dibuat seorang pegawai Fuziah berhubung satu video yang disiarkan semula memaparkan beliau “membeli barangan keperluan harian”.
Video itu yang kali pertama dimuat naik pada Julai lalu, memaparkan Fuziah membeli beberapa barangan seperti minyak masak, beras, biskut, mi segera, sardin dalam tin dan bawang di sebuah pasar raya dengan harga RM136.30.
“Siapa kata RM200 tidak cukup dan kena RM500,” katanya dalam video tular itu.
Bagaimanapun, video itu mencetuskan kritikan pengguna media sosial terhadap beliau.
Fuziah menjelaskan, video tersebut telah diambil di luar konteks, termasuk rakaman lama, yang diambil pada Julai lalu ketika berkunjung ke sebuah pasar raya di Langkawi, Kedah.
Mengulas lanjut, Ramzah berkata kelakuan Fuziah di dalam video itu seolah-olah mengejek kesusahan rakyat, sebaliknya tugas menteri adalah menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat pada ketika ini.
“Yakinkan rakyat bahawa kerajaan serius dengan keluh-kesah akar umbi. Bukan cuba menguburkan sentimen dan naratif rakyat dengan acah-acah turun padang.
“Tolonglah jauhi kenyataan-kenyataan simplistik begitu. Keperluan harian manusia lebih kompleks dari sekadar dua pek mi atau sekampit beras,” katanya.-FMT
No comments:
Post a Comment