WASHINGTON: Elon Musk mengumumkan pentas media sosial X miliknya itu akan menyediakan ciri baharu panggilan video dan audio dalam perkhidmatannya, sekali gus menjadi aplikasi menyeluruh kepada pengguna.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bila ciri baharu itu akan tersedia.
Musk berkata, ciri baharu berkenaan akan berfungsi pada sistem iOS, Android, Mac, PC dan tiada nombor telefon diperlukan. Aplikasi X ialah buku alamat global yang berkesan.
Terdahulu, Musk dan ketua eksekutif baharu syarikat itu, Linda Yaccarino, mengumumkan penjenamaan semula pada Ahad dengan berkata, syarikat yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter itu kini dijenama semula kepada X.
Ia akan beralih merangkumi sistem pembayaran, perbankan dan perdagangan pada masa akan datang, mengambil iktibar daripada WeChat di China, yang membenarkan pelanggannya bersosial dan pada masa sama, menguruskan kewangan mereka.
Laman sesawang kripto, CoinWire, melaporkan bahawa cawangan pembayaran X Twitter Payments LLC telah diberikan lesen pemancar mata wang penting dari Amerika Syarikat (AS).
Ia bagi membabitkan syarikat itu dalam urusan berkaitan mata wang kripto seperti pertukaran, e-dompet dan pemproses pembayaran.
Katanya, lesen berkenaan membenarkan X untuk menyimpan, memindahkan, dan memudahkan pertukaran aset digital bagi pihak penggunanya dengan selamat.
Sejak Musk memiliki Twitter pada Oktober lalu, perniagaan pengiklanan pentas itu mencatatkan penurunan apabila pasaran tidak begitu menerima gaya pengurusannya.
Sebagai tindak balas, Musk kemudiannya bergerak ke arah membina asas pelanggan dan model pembayaran dalam mencari hasil baharu.
Ramai pengguna dan pengiklan bertindak balas negatif terhadap caj baharu bagi perkhidmatan yang percuma sebelum ini serta perubahannya kepada penyederhanaan kandungan.
Musk juga mematikan logo Twitter bagi menggantikan burung biru yang diiktiraf di seluruh dunia dengan menggunakan logo X putih. - AFP
No comments:
Post a Comment