Majlis pengumuman calon PN Dun Pelangai – foto Berita Harian
BENTONG, 22 Sept 2023 – Felda kini bukan lagi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyebabkan Perikatan Nasional (PH) berpeluang memenanginya dalan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bulan hadapan.
Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ini boleh dibuktikan berdasarkan kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15 yang tidak memihak kepada UMNO.
Tambah Tuan Ibrahim, peneroka di Felda kini bukan lagi generasi pertama tetapi generasi kedua dan ketiga yang menghadapi pelbagai masalah yang membelengu mereka.
“Walaupun satu masa dulu mungkin jadi kubu BN (iaitu) Felda khususnya, tapi kita boleh tengok Pilihan Raya Umum ke-14 ke-15 dah jadi (Felda bukan lagi kubu UMNO dan BN) sebab generasi yang ada di Felda bukan generasi pertama, sudah (generasi) kedua, ketiga dan mereka berdepan dengan berbagai masalah perumahan generasi kedua yang tidak ada perancangan dibuat, projek yang terbengkalai pembangunan (dan) berbagai bagai isu dalam Felda,” kata beliau.
Tuan Ibrahim juga berkata beliau sangat yakin anak muda di DUN Pelangai kali ini akan bersama PN.
“Jasa besar kami dalam Perikatan Nasional ialah waktu Tan Sri Muhyiddin (memimpin) kita menghapuskan semua hutang-hutang peneroka Felda dengan bank… ini suatu sumbangan besar dan kita yakin anak-anak peneroka Felda akan bersama dengan Perikatan Nasional pada kali ini,” ujar beliau lagi.
Tuan Ibrahim berkata demikian selepas majlis mengumumkan calon Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Rabu lalu.
Perikatan Nasional (PN) menamakan seorang bekas tenaga pengajar, Kasim Samat sebagai calon mereka.
PRK itu diadakan berikutan kematian Datuk Seri Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas berhampiran bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu ini, manakala 7 Okt sebagai hari pengundian.
Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat, calon PH, Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang, Isa Ahmad.
Dalam PRU15 lalu, PN menang 17 dari 42 kerusi DUN di Pahang.
DUN Pelangai mempunyai seramai 16,456 pengundi berdaftar dan hampir 75 peratus adalah pengundi Melayu. – Awani
No comments:
Post a Comment