KUALA LUMPUR: Sidang Parlimen bermula kecoh hari ini susulan usul tergempar bagi memanggil Peguam Negara menjelaskan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.
Usul dikemukakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal itu Jumaat lalu, bagaimanapun ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini.
Situasi mula kecoh apabila apabila beberapa pemimpin diketuai Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendesak supaya usul DNAA itu diterima dan dibahaskan.
Bagaimanapun Speaker menegaskan bahawa usul itu sudah ditolak, namun memaklumkan akan memberi ruang kepada Wan Ahmad Fayshal untuk bercakap selepas urusan pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai.
"Usul (sudah) ditolak. Saya beri ruang (untuk bercakap) sebab (usul sudah) ditolak. Jadi, jangan tanya sekarang," kata Johari ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.
Kekecohan tidak terhenti di situ apabila pembangkang terus mempertikai sama ada keputusan dibuat Speaker itu membawa maksud usul berkenaan diterima dan boleh dibahas.
Jumaat lalu, Wan Ahmad Fayhsal mengemukakan usul tergempar berkenaan bagi meminta sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat untuk memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan penarikan balik 47 pertuduhan ke atas Ahmad Zahid.
-BH Online
No comments:
Post a Comment