Kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengenai “ketagihan” rakyat Malaysia makan di luar menjadi punca pendapatan menyusut dilihat akan menjejaskan lagi peniaga makanan.
Pemilik dua perniagaan makanan, Mohd Johar M Jaffar berkata, ia ibarat menambah beban para peniaga yang kini sedang berdepan cabaran.
“Sekarang ini sudahlah perniagaan merudum.
“Kenyataan beliau boleh beri kesan kepada peniaga," katanya yang mengusahakan sebuah restoran makanan barat di Sungai Buloh kepada MalaysiaNow.
Menurut lelaki itu, perniagaannya menyaksikan kejatuhan antara 30-40% jualan sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, dia sedang dalam proses menutup satu cawangan kerana kos “overhead” yang tinggi dan tidak mampu ditampung.
Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan menyalahkan dasar lampau yang beralih daripada dasar pertanian serta pengangkutan awam yang lemah.
“Di negara lain, makan di luar dilihat sebagai perkara riadah.
"Kita membelanjakan lebih banyak wang untuk membeli bahan mentah, memasak, dan memakannya, sekali-sekala, kita akan keluar (untuk makan),” katanya seperti dilaporkan media.
Ini menjadikan rakyat lebih sensitif dengan perubahan harga barangan mentah walaupun inflasi utama pada kadar yang sihat iaitu sekitar 2.5%.
Beliau juga membuat perbandingan dengan negara lain seperti Korea Selatan, yang mana isi rumah Malaysia membelanjakan jauh lebih besar pendapatan mereka untuk makan di luar.
Rafizi sebelum ini dikritik kerana meminta rakyat untuk kurangkan makan ayam ketika mengulas mengenai kenaikan harga bahan mentah di pasaran.
Selain isu ayam, isu kenaikan harga beras import juga hangat dibincangkan di Parlimen baru-baru ini, selepas ramai orang mengadu ketiadaan bekalan beras putih tempatan yang dikawal harga.
Laporan lain turut menjangkakan kenaikan harga barang pengguna meningkat sehingga 20% menjelang bulan ini, ekoran inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan.
Menurut Johar, kos masak sendiri dengan makan di luar hampir sama kerana kenaikan barang mentah.
"Hendak masak sendiri kena ada sayur, nasi, ayam atau ikan dan minuman. Perlu guna minyak masak, gas dan utiliti yang lain.
“Lebih mudah dan murah sebenarnya makan di luar berbanding masak sendiri," katanya.
Kenyataan itu disokong pengusaha restoran Makan Place di Puncak Alam, Mohd Izham Fahmi Yaakob.
Katanya, kos memasak di rumah hampir sama dengan kos untuk membeli makanan di luar.
"Kalau bekerja waktu pejabat, kita tidak akan balik masak di rumah.
"Isu sekarang bukan masalah makan di restoran. Ia isu harga barang semua naik mendadak tapi gaji pekerja di takuk lama," katanya.
-MalaysiaNow
No comments:
Post a Comment