KUALA LUMPUR- Kedah menerima pelaburan diluluskan berjumlah RM14.6 bilion dari Januari hingga Jun 2023 dipacu dengan kelengkapan fasiliti yang disediakan Kulim Hi Tech Park (KHTP) termasuk kepantasan dalam membuat kelulusan oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ia satu pencapaian membanggakan dan yakin jumlah itu akan bertambah dalam tempoh enam bulan lagi.
“Sasaran Kedah dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 setuap tahun kita akan capai purata RM10 bilion.
“Ia berkaitan dengan persiapan yang kita buat khususnya dari segi fasiliti yang ada di Kedah dan yang paling penting dalam pelaburan ini ialah kepantasan dalam membuat kelulusan, saya rasa KHTP memiliki ramuan itu,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat ahli lembaga pengarah Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd (KTPC) di Alor Setar, semalam.
Mengulas mengenai Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap , Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sudah melaksanakan tanggungjawab menyediakan fasiliti antaranya membuat pengambilan tanah serta pembekalan air di KRC.
“KRC tu yang tinggal cuma elektrik dan kerajaan telah selesaikan semua tanggungjawab, sudah buat pengambilan tanah untuk TNB pasang ‘high voltage transmission line’.
“Kemudian itu dari segi keperluan mengecilkan zon penampan yang dulu 500 meter, pelabur pun takut hendak masuk, sekarang kita buat penyelarasan 300 meter dan pelabur pun setuju, dari segi bekalan air juga cukup,” katanya lapor BH.
Muhammad Sanusi berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai pelabur berminat melabur di KRC kerana masih memiliki kawasan yang luas dan potensi luas terhadap produk huluan dan hiliran berasaskan getah.
“Ini baru fasa satu, sektor getah ada huluan dan hiliran dan ada banyak lagi sektor sektor hiliran, banyak produk saya lihat Lembaga Getah Malaysia (LGM) buat penyelidikan, dihasilkan keluar produk yang boleh dibawa masuk ke KRC,” katanya.
Media sebelum ini, melaporkan Hong Seng Consolidated Berhad membatalkan projek bernilai RM3 bilion untuk membina kilang ‘nitrile butadiene latex’ (NBL) di KRC ekoran kemerosotan dalam industri sarung tangan.
Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia Securities pada 13 September lalu, syarikat itu berkata, mereka telah membuat keputusan strategik untuk menggantung pembangunan kilang NBL memandangkan pelbagai faktor termasuk keperluan projek dan pembiayaan.
Turut diambil kira faktor di luar kawalan seperti sentimen pasaran semasa industri sarung tangan, keperluan penjanaan modal dan aliran masuk pelaburan swasta dan asing.
-suara.tv
No comments:
Post a Comment