Kuala Lumpur: Filem Malbatt : Misi Bakara mencatat kutipan sebanyak RM26 juta selepas 11 hari tayangan sejak 24 Ogos lalu.
Ketua Pegawai Operasi GSC Movies merangkap Penerbit Eksekutifnya, Tung Yow Kong berkata, pihaknya bersyukur dengan sokongan berterusan penonton terhadap filem itu.
"Pihak kami bersyukur dengan sambutan dan sokongan tempatan pada filem Malbatt.
"Walaupun filem ini sudah masuk minggu ketiga tayangan tetapi ia masih dalam Top 3 carta filem pawagam di seluruh negara," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Ditanya, sampai bila filem Malbatt akan ditayangkan di pawagam, kata Yow Kong, ia akan ditayangkan selagi ada sambutan dari penonton.
"Selagi ada sambutan dari penonton, filem ini tetap akan ditayangkan di pawagam tanah air selama mungkin mengikut permintaan," katanya.
Mengulas pemberian bonus kepada pelakon dan kru susulan kejayaan filem itu pula, kata Yow Kong, pihaknya dan beberapa penerbit lain belum berbincang mengenainya lagi.
"Seperti yang semua sedia maklum filem Malbatt membabitkan beberapa penerbit dan pihak kami belum berpeluang untuk duduk berbincang mengenai bonus itu.
"Buat masa ini, tumpuan pihak kami adalah memastikan filem ini dapat meneruskan momentum yang baik di pawagam.
"Filem ini juga masih ditayangkan di 160 lokasi pawagam termasuk tujuh di Brunei Darussalam," katanya.
Filem arahan Adrian Teh ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie Alaudin, Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Tony Eusoff, Syazwan Zulkifli, Dafi Ismail Sabri, Taufiq Hanafi, Nafiez Zaidi, Dini Schatzmann, Gambit Saifullah, Theebaan G, Safwan Nazri dan Ikhram Juhari.
Ia berdasarkan dari kisah benar mengenai operasi tentera Malaysia membantu menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap ketika perang saudara di Somalia pada 1993.
No comments:
Post a Comment