MUHYIDDIN Yassin tiba di Bangunan MIDA untuk diambil keterangan oleh polis.
KUALA LUMPUR: Kira-kira 20 petugas media berkumpul sejak pukul 9 pagi ini di hadapan Bangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Jalan Sentral di sini, susulan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin diambil keterangan hari ini.
Beliau akan diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman berkaitan isu ‘fakta’ haram dalam ucapannya ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, di Kempas, Johor.
Bekas Perdana Menteri itu dilihat tiba di bangunan itu menaiki Toyota Vellfire pada 9.28 diiringi beberapa pegawai pengiring.
Bagaimanapun, petugas media dihalang untuk membuat liputan termasuk mengambil gambar di bangunan tersebut.
Seorang individu yang mendakwa pegawai media bekas Perdana Menteri itu turut menegah pengamal media berkumpul selain mempersoalkan kehadiran di situ.
Difahamkan, pengawai penyiasat USJT telah tiba dan proses rakaman percakapan sedang dijalankan.
Pada 5 September lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, dua laporan polis dibuat terhadap Muhyiddin.
2 September lalu, dalam ucapan berkenaan, Muhyiddin didakawa menyatakan ‘fatwa’ haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat, pada PRK Parlimen Pulai, yang berlangsung Sabtu lalu.
Susulan itu, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- UTUSAN
No comments:
Post a Comment