KANGAR: Susulan isu bekalan beras dalam kalangan rakyat di negara ini, pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri Perlis, Razali Saad turun padang memantau sendiri bekalan beras tempatan di negeri itu.
Razali berkata, tinjauan dilakukan bagi memastikan bekalan beras berada dalam situasi mencukupi khususnya bagi rakyat negeri Perlis.
“Isu kekurangan beras putih tempatan ini, difahamkan kita akan mendapat bekalan sebanyak 700 tan metrik bekalan secara berperingkat dalam tempoh sebulan.
“Peringkat awal ini, kita baharu dapat 60 tan metrik di kedai-kedai yang kita fokus terlebih dahulu untuk menyediakan bekalan ini.
“Pengguna boleh turun ke program yang Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) aturkan supaya pengguna boleh beli terus dari pihak berkenaan,” katanya selepas membuat tinjauan di Ishah Bintong,di sini, hari ini.
Menurut Razali lagi, pihak Kawal Selia Padi dan Beras akan memberi fokus terhadap pekedai dan peruncit di dalam setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis bagi memastikan bekalan beras putih berada di dalam pasaran.
“Boleh dikatakan sebilangan kedai dalam kawasan Kangar, Arau dan Padang Besar telah menerima bekalan beras putih ini bagi menampung permintaan pengguna di negeri ini,” katanya lagi.
Turut sama, pegawai Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Perlis, Sufizan Abu Laini dan Mohamad Faro Akbar Fadzial.
Dalam pada itu, pihaknya mengharapkan agar pengguna tidak membuat pembelian panik dan beli mengikut keperluan.
“Saya harap pengguna jangan panik,beras ini kalau kita beli banyak lama-lama nanti dia kan rosak,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/9/2023
No comments:
Post a Comment