Foto: Facebook Dr Akmal Saleh
KUALA LUMPUR – Sebagai solusi mendepani krisis bekalan beras, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh mencadangkan agar kerajaan menetapkan polisi penjualan beras tempatan hanya untuk warganegara Malaysia.
Beliau meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melaksanakan polisi yang disyorkan itu kerana dijangka mampu meredakan krisis bekalan beras yang runcing ketika ini.
“Saya berharap polisi ini dipertimbang untuk memastikan bahawa semua bekalan beras tempatan perlulah dijual kepada rakyat warganegara Malaysia sahaja.
“Sebab kita tahu bahawa beras tempatan ini jadi murah sebab ia disubsidikan oleh kerajaan dan pada ketika krisis bekalan beras agak runcing ini sebenarnya subsidi ini perlulah diberikan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu.
“Jadi saya mohon Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk pertimbang polisi ini untuk sementara krisis bekalan beras,”syor beliau dalam video yang dimuat naik di Facebooknya pada Khamis.
Ujar Dr Akmal lagi sekiranya polisi itu tidak dapat dilaksanakan seluruh Malaysia beliau malah memohon ketetapan itu dapat dikuat kuasa kalau di Melaka.
“Kita kena menjamin rakyat kita dahulu sebelum rakyat luar, orang luar boleh pergi beras import,” kata Dr Akmal.
Jelas beliau, beras tempatan disubsidi oleh kerajaan,maka ketika bekalan berkurangan ini,selayaknya warga negara diberikan keutamaan berbanding warga asing.
“Mohon permohonan ini dapat dipertimbangkan oleh menteri,” kata Dr Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa,Pertanian dan keterjaminan makanan negeri Melaka.
-suara.tv
No comments:
Post a Comment