Dalam panduan gaji 2023, JobStreet berkata median gaji industri IT melonjak dari RM3,750 kepada RM4,800 dalam tempoh 12 bulan terakhir.
PETALING JAYA: Industri Teknologi Maklumat (IT) adalah sektor pekerjaan dengan pertumbuhan gaji median tertinggi, sementara pasaran kerja di Malaysia secara keseluruhannya stabil, menurut portal mencari pekerjaan, Jobstreet.
Dalam analisis panduan gaji, Jobstreet berkata pertumbuhan gaji median dalam industri IT melonjak sebanyak 28% dalam tempoh 12 bulan terakhir, dari RM3,750 kepada RM4,800.
Pakar IT juga memiliki gaji median tertinggi iaitu RM6,000.
“Peningkatan tumpuan Malaysia dalam inisiatif transformasi digital, yang dipacu oleh usaha berterusan kerajaan dalam bidang ini, mungkin adalah sebab bagi peningkatan permintaan peranan IT ini,” kata Pengarah Urusan JobStreet, Vic Sithasanan dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau berkata pertumbuhan ini mungkin tidak bertahan dalam jangka panjang, kerana syarikat-syarikat gergasi teknologi di seluruh dunia sedang mengurangkan kakitangan pada tahun ini.
“Secara idealnya, reformasi pendidikan di seluruh negara patut dilaksanakan untuk membina asas kukuh dalam menghasilkan lebih banyak pakar IT terlatih dalam jangka panjang,” katanya.
Jobstreet juga menyatakan bahawa pasaran buruh negara ini sedang stabil, dengan 97.3% penyenaraian pekerjaan menawarkan tahap gaji yang sama dengan tahun sebelumnya.
Pada bulan Jun, MIDF Research meramalkan pasaran buruh di Malaysia akan terus meningkat sepanjang tahun ini, susulan momentum positif berterusan dalam ekonomi domestik dan pertumbuhan sederhana dalam sektor luaran.
MIDF Research meramalkan kadar pengangguran di negara ini berkurang kepada 3.5%, iaitu 0.2% lebih tinggi daripada tahap sebelum wabak Covid-19.-FMT
No comments:
Post a Comment