Khairil Nizam Khirudin berkata KXP mampu menjadi pelengkap dan tingkat penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
KUALA LUMPUR: Seorang wakil pembangkang meminta Putrajaya mempertimbangkan semula kelulusan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), yang menjadi sebahagian projek Kedah Aerotropolis.
Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata ini kerana pembinaan projek menggunakan model inisiatif pembinaan swasta (PFI) ini mampu menjadi “pelengkap” dan pemangkin dalam meningkatkan jumlah penumpang yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
Beliau yang juga ketua penerangan PAS berkata projek itu juga disokong bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Ong Kiang Ming yang meminta pemimpin DAP khususnya dari Pulau Pinang berjumpa dengan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor mengenai projek berkenaan.
“Seperti mana projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang menggunakan model PFI, Jerantut memohon agar pihak kerajaan pusat dapat mempertimbang kembali kelulusan untuk membina projek Kedah Aerotropolis KXP kerana projek ini juga bersifat PFI,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK12 bagi 2023-2025.
Ong menerusi podcast Keluar Sekejap bulan lepas menyentuh mengenai keperluan pembinaan KXP, yang menyifatkan ia mampu menjadi pelaburan baik untuk menjadikan zon utara sebagai hab rantaian industri elektrik dan elektronik (E&E) di rantau ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan membesarkan LTAPP dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, namun bercadang untuk menghentikan pembinaan KXP.
Anwar dipetik berkata, pembesaran dua lapangan terbang itu dijangka memanfaatkan pertumbuhan ekonomi pada kos jauh lebih rendah berbanding cadangan pembinaan KXP yang dianggarkan menelan kos RM7 bilion, sekali gus tidak boleh dipertimbangkan dalam keadaan sekarang.
Sanusi pada Jun mendakwa tindakan itu bermotifkan politik.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Badlishah kemudian bertitah agar projek KXP itu diberi layanan dan perhatian yang adil dan sewajarnya dalam usaha mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang kini sedang tumbuh pesat.
Projek Kedah Aerotropolis merangkumi tiga komponen utama, iaitu Airport City, Business Park dan Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing (SLAM) dan hab operasi MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih).-FMT
No comments:
Post a Comment