Seorang diplomat veteran, Datuk Dennis Ignatius, yang kali terakhir berkhidmat sebagai Duta Malaysia ke Kanada, berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berdepan masalah tidak lama lagi disebabkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau melihat Perdana Menteri dan Zahid tidak mempunyai keutamaan yang sama di mana Anwar menekankan tadbir urus yang baik dan kestabilan politik, tetapi Zahid pula mengejar agenda yang lebih berkaitan dengan cita-citanya sendiri berbanding kejayaan kerajaan perpaduan.
Tanda terbaru percanggahan ini ialah pertukaran ketua menteri secara mendadak di Melaka beberapa hari lalu, sedangkan kerajaan negeri stabil dan berjalan dengan baik.
Beliau mendakwa Zahid terbukti menjadi dalang kepada usaha menggoncang kestabilan kerajaan negeri demi mengukuhkan pengaruhnya dalam UMNO.
Beliau memetik peranan dimainkan Zahid ketika “orang kuatnya” (Datuk Seri Bung Moktar Radin) di Sabah cuba menggulingkan kerajaan negeri, serta menggantikan ketua menteri Melaka baru-baru ini.
“Apa yang menjadi keutamaan Zahid ketika beliau terus menjejaskan kestabilan politik yang cuba disatukan oleh perdana menteri?” soal Ignatius dalam tulisan di blog beliau.
Beliau turut memberi amaran bahawa keputusan memulangkan semula pasport antarabangsa Zahid akan menjejaskan usaha Anwar untuk menonjolkan pentadbirannya sebagai bebas rasuah.
Beliau berkata dengan pelbagai pertuduhan rasuah yang dihadapi Zahid, ia akan menjadi suatu yang memalukan ketika mewakili pentadbiran Anwar di luar negara.
“Mesej apa yang akan disampaikan kepada dunia apabila timbalan perdana menteri sebuah kerajaan yang kononnya komited terhadap tadbir urus yang baik dan memerangi rasuah sendiri menghadapi pelbagai tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa?” tulisnya lagi.
Ignatius turut mengkritik Setiausaha Agung DAP Anthony Loke kerana membenarkan beberapa siri pelantikan politik ke badan kerajaan, yang menyaksikan sekutu Zahid menerajui agensi penting seperti MARA dan Felcra.
“Loke dan yang lain mungkin berhempas pulas untuk mewajarkan pelantikan dilakukan Zahid tetapi rakyat tidak begitu mudah tertipu.
“Apa yang mereka lihat hanyalah ahli politik yang berkomplot dan tidak berprinsip yang tidak boleh dipercayai untuk menunaikan janji mereka dan memenuhi cita-cita sendiri,” katanya.
Beliau berkata Anwar perlu mengekang Zahid, tetapi ia akan menimbulkan masalah kerana akan melibatkan majoriti di Parlimen.
“Sudah tentu, Anwar memerlukan Zahid dan UMNO untuk mengekalkan majoriti yang stabil di Parlimen.
“Untuk mengekalkan Zahid di sisi, perdana menteri mungkin merasakan beliau perlu memberi Zahid kebebasan dan kelonggaran termasuk keputusan mencurigakan oleh RoS untuk membantu Zahid tidak dicabar (dalam pemilihan UMNO).
“Dan langkah mengejutkan Pejabat Peguam Negara untuk tidak membantah permohonan Zahid supaya pasportnya dipulangkan (kononnya atas alasan bertugas untuk negara),” katanya.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment