BANGKOK: Mahkamah Agung Thailand hari ini memutuskan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, yang pulang dari buangan sendiri, akan menjalani hukuman penjara selama lapan tahun.
Hukuman penjara itu membabitkan tiga kesalahan, iaitu penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan, secara haram mengarahkan bank milik kerajaan mengeluarkan pinjaman asing dan memegang saham secara haram melalui penama.
Sebelum itu, Thaksin, 74, menjejakkan kaki di Thailand buat kali pertama sejak 2008, kembali dari buangan sendiri ke penjara hanya beberapa jam sebelum sekutunya bertanding dalam pengundian di parlimen dalam usaha membentuk kerajaan.
Tokoh jutawan parti populis Pheu Thai, melarikan diri ke luar negara 15 tahun lalu sebelum dia dipenjarakan tanpa kehadirannya kerana penyalahgunaan kuasa, dua tahun selepas tentera menggulingkannya dalam rampasan kuasa, mendakwanya rasuah dan tidak setia kepada monarki yang berkuasa, tuduhan yang dinafikannya.
Thaksin muncul sebentar bersama ahli keluarga di terminal jet peribadi Lapangan Terbang Don Mueang, tersenyum dan melambai kepada ratusan penyokong, sebelum diiringi dalam konvoi polis ke Mahkamah Agung dan kemudian dibawa ke penjara.
Ketika dia keluar dari lapangan terbang dengan memakai sut hitam, tali leher merah dan pin lapel kuning yang mengandungi lambang diraja, Thaksin menggenggam tangannya dan tunduk dalam ucapan “wai” di hadapan potret raja dan permaisuri.
Anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra, mengesahkan Thaksin selamat tiba dan memuat naik imej ayahnya tersenyum bersama keluarga, termasuk tujuh cucu di Facebook.
“Ayah telah kembali ke Thailand dan menjalani proses undang-undang,” kata Paetongtarn.
Ketibaan ahli politik Thailand yang paling terkenal itu ketika parlimen negara itu bersidang sebelum pengundian untuk memilih calon perdana menteri, Srettha Thavisin, seorang pemaju hartanah yang didorong menyertai politik oleh Parti Pheu Thai hanya beberapa bulan lalu. – REUTERS
No comments:
Post a Comment