Serdang: Sebagai usaha memperkukuh dan memartabatkan bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Siri 1 Forum Perdana Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada 21 Ogos lalu.
Forum itu menghimpunkan ahli bahasa, pendidik, dan pemangku kepentingan untuk membincangkan langkah-langkah penting dalam memartabatkan bahasa Melayu di peringkat global.
Ahli panel pada forum itu ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPM, Prof Dr Nazamid Saari; mantan Timbalan Menteri Riset dan Teknologi Indonesia, Prof Dr Sjafri Sairin; Ketua
Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan, serta Ketua Pusat Kajian Tamadun Melayu Islam (Pustani), Universiti Fatoni, Thailand, Dr Suraiya Chapakiya dan Ketua Program Bahasa Melayu, Sekolah Ilmu Kemanusiaan dan Sains Tingkah Laku, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Prof Madya Dr Lim Beng Soon.
Prof Datuk Dr Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad pula bertindak selaku moderator forum.
Perbincangan merangkumi isu strategik seperti peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya, langkah-langkah untuk mempromosikannya sebagai bahasa perantaraan di rantau Nusantara, serta usaha memperkuatkan kedudukan sebagai sumber rujukan utama bersama bahasa-bahasa antarabangsa.
Sementara itu, Dekan FBMK UPM, Prof Madya Dr Hazlina Abdul Halim berkata, pihaknya sentiasa menjalankan usaha memartabatkan bahasa Melayu agar relevan sepanjang masa, seiring dengan perubahan zaman.
"Usaha memperkukuh dan memartabatkan bahasa Melayu bukanlah tindakan bermusim atau dilakukan pada waktu tertentu, sehinggakan menjadikan darjah pasang surut terhadap bahasa Melayu tidak stabil dan tidak menentu.
"Usaha murni memperkukuhkan penguasaan dan kemahiran berbahasa Melayu juga menjadi keutamaan UPM. Hal ini terbukti dengan mewajibkan semua pelajar UPM untuk menduduki Ujian Komunikasi dalam bahasa Melayu atau UKOM, sebagai syarat bergraduat.
"Dalam kalangan pentadbir, semua urusan mesyuarat, surat-menyurat, komunikasi secara e-mel dilakukan dalam bahasa Melayu," katanya.
Beliau berkata, bahasa Melayu memiliki ciri kecendekiaan dan kesempurnaan yang dapat digunakan sebagai peradaban tinggi bahasa ilmu yang mantap dan perkembangan ilmu.
-myMetro
No comments:
Post a Comment