Naib Presiden MIC, Datuk T Mohan mempersilakan UMNO bertanding menggunakan logo sendiri dalam mana-mana pilihan raya, jika parti itu yakin menjadi pilihan pengundi.
Kenyataan itu sebagai respon susulan kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said yang melontarkan persoalan sama ada parti itu boleh mempertimbangkan bertanding atas tiket sendiri pada pilihan raya selepas dan tidak menggunakan logo Barisan Nasional (BN).
“Terpulang kepada fikiran UMNO jika mahu bertanding atas tiket sendiri, sekiranya mereka mendapat kelebihan majoriti kaum. Jika kawasan itu Melayu, mungkin itu boleh dilakukan.
“Tetapi mengikut konsep kebersamaan BN yang dipegang sejak puluhan tahun, walau siapa pun calon yang dipilih tanpa mengira Melayu atau India, kita sentiasa bersama MCA, parti Sabah dan Sarawak.
“Apa yang mustahak kita perlu tanya ialah, adakah parti itu masih kekal relevan dan pemimpin parti itu sendiri masih relevan,” katanya dipetik laporan BH.
Mengulas lanjut, Mohan berkata, MIC sendiri mengakui mereka sukar untuk menang sekiranya bertanding atas tiket sendiri tanpa kehadiran parti komponen BN.
“Pendirian kita jika mahu bertanding bukan berdasarkan perkauman atau menggunakan logo sendiri. Kita tahu kita sukar menang walaupun mempunyai majoriti kaum,” katanya.
Beliau turut berkata, MIC sebenarnya tidak terkejut dengan persoalan yang dikeluarkan oleh Azalina itu malah menganggap ia sebagai kenyataan peribadi selagi ia tidak dikeluarkan oleh Presiden UMNO.
“Itu pendirian dia, bukan hadir daripada Presiden UMNO,” katanya yang mengesahkan, tiada perbincangan antara pemimpin parti komponen berhubung perkara itu setakat ini.
UMNO kini dilihat berdepan penolakan orang Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, selain ‘perselisihan’ dalaman yang dikhabarkan meletus antara kepimpinan parti komponen BN itu sejak berakhir Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), tahun lalu.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment