SELANGOR: Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS) masih menanti keputusan penyelarasan pendaftaran Sekolah Islam Persendirian (SIP) di Selangor dari pihak berkuasa yang terlibat dan berharap keputusan yang terbaik akan diputuskan.
Pengerusi GASIS, Dr. Nik Noor Azlida Datuk Husain berkata, pihaknya sebelum ini telah mendapat respons yang positif dalam memperjuangkan hak SIP berkenaan.
“Perbincangan telah berlaku dengan mantan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni, dan resolusi berkenaan isu ini telah dikeluarkan.
“Begitu juga perbincangan dengan Jabatan Perancang Bandar Dan Desa Negeri Selangor (PLANMalaysia@Selangor) bersama-sama 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dibuat untuk menyelaraskan isu pendaftaran SIP di peringkat PBT.
“(Perkara ini) masih dalam proses dan kami melihat ada tanda positif berkenaan isu ini dan turut mengharapkan tiada sentimen politik dimainkan dalam isu pendidikan ini,” katanya kepada HarakahDaily.
Menjawab persoalan adakah isu ini memerlukan ia dibawa kepada pihak Istana, Nik Noor Azlida berkata, belum ada keperluan untuk dipanjangkan kebimbangan (isu SIP) ini kepada pihak Istana, kecuali selepas ini tiada tindakan oleh pemegang taruh di peringkat negeri dan PBT.
Sehubungan itu, beliau turut mengalu-alukan mana-mana SIP di Selangor yang berminat untuk menyertai GASIS.
“Namun, penyertaan itu adalah dengan syarat menghayati dan membantu kami (GASIS) dalam memperjuangkan hak SIP. Tiada paksaan wajib untuk menyertai GASIS,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/8/2023
No comments:
Post a Comment