KUALA LUMPUR : "Selagi bernyawa, saya mahu terus menyanyi."
Itu jawapan Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah tatkala ditanya tidakkah terlintas dalam fikiran untuk menarik brek atau bersara daripada pentas muzik selepas lebih empat dekad menghambakan diri dalam dunia seni.
Bintang layak digelar legenda berusia 64 tahun ini mahu terus menyanyi selagi ada permintaan peminat, hinggalah dirinya tidak lagi berkeupayaan melontarkan vokal sejak mula mencipta populariti pada akhir 1970-an.
Juara Bintang RTM 1979 ini membuktikan dirinya masih laris apabila menjadi rebutan penganjur acara, termasuk konsert pada usia emas.
Dalam sibuk menguruskan perniagaan ternakan lembu dan ikan serta menjadi bapa kepada empat cahaya mata yang masih kecil, Jamal terus betah menerima tawaran nyanyian, kadang kala hampir tiga kali seminggu beraksi menghiburkan peminat.
"Nyanyian adalah punca rezeki, jadi saya tidak boleh tolak. Selagi masih laku 'on' lah, mungkin saya takkan bersara hingga akhir hayat," katanya pada sidang media Akustika Kekasih Awal dan Akhir yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Loong Sing, Johor Bharu pada 20 Oktober depan.
Jamal yang mula menceburkan diri dalam dunia muzik sejak di bangku sekolah dengan menyertai pelbagai pertandingan, termasuk menjuarai Pertandingan Bintang Kecil di Brunei Darussalam, menjadikan Allahyarham Datuk Ahmad Jais sebagai idola dan penanda aras.
"Allahyarham menyanyi hingga hujung nyawa. Saya masih ingat, seminggu sebelum Ahmad Jais meninggal dunia, saya sempat membuat persembahan bersama arwah.
"Jadi, apabila dapat berita mengatakan beliau meninggal dunia, saya terkejut dan tidak sangka sebab kami baru berjumpa.
"Pagi itu, saya terus bergegas ke tanah perkuburan untuk menziarah arwah," imbau Jamal terhadap hari sedih apabila Ahmad Jais meninggal dunia, hampir 12 tahun lalu.
Ditanya rahsia mengekalkan suara dan stamina yang baik pada usia 60-an, Jamal memberitahu, pemakanan, bersenam dan tidur yang cukup menjadi kunci utama dalam menjaga kesihatan.
Faktor ahli keluarga yang menghidap pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung menyebabkan dirinya cukup berhati-hati.
"Alhamdulillah, setakat ini, saya tidak menghidap sebarang penyakit. Saya sangat menjaga soal makan dan tidur. Saya perlu tidur antara enam hingga tujuh jam sehari.
"Selain itu, saya kerap bersenam di gimnasium atau paling tidak joging untuk menjaga stamina.
"Latihan juga amat penting. Biasanya, sebelum persembahan atau konsert, saya luangkan masa untuk latihan. Ini penting untuk ketahanan ketika berada di pentas," katanya.
Bagaimanapun, akui Jamal, seiring peningkatan usia, beliau dapat merasakan perbezaan tenaganya yang tidak lagi sekuat dulu.
Namun, akui Jamal, beliau masih mampu menyanyikan 20 lagu dalam satu persembahan atau konsert.
"Setakat nyanyi dua malam dengan 20 lagu untuk setiap persembahan, tiada masalah lagi.
"Selalunya waktu latihan saya tidak 'all out'. Lazimnya, saya akan 'bagi' (beraksi sepenuh hati) dalam persembahan sebenar.
"Saya juga tidak menyanyi kerana mahu habiskan persembahan semata-mata.
"Sebaliknya, saya masukkan jiwa dalam setiap lagu dinyanyikan. Apabila kita berada dalam limbungan muzik, kita akan dapat rasa muzik itu meresap ke dalam jiwa.
"Barulah persembahan jadi hidup," katanya.
Berkongsi mengenai Konsert Akustika Kekasih Awal & Akhir, Jamal memberitahu, beliau memberi cadangan kepada penganjur agar acara berkenaan dipentaskan dalam konsep persembahan akustika.
Tambahnya, ini kali pertama beliau mementaskan konsert berkonsep demikian.
Biarpun mengaku persembahan akustika lebih mencabar, Jamal berharap konsert berkenaan akan dibuka untuk peminat dari Singapura.
Selain Jamal, persembahan di lokasi yang mampu memuatkan 1,300 orang berkonsep majlis makan malam itu akan disertai Syahd Hasmie dan P Radhi.
Persembahan mereka bakal diiringi Belle Fatah Hassan sebagai pemain piano dan akan dibantu pemuzik profesional terpilih seperti pemain guitar akustik, cello, biola dan violin.
Harga sebuah meja ditawarkan serendah RM2,000 hingga RM6,000. Maklumat lanjut dan tempahan meja boleh dibuat melalui www.akadakhr.com.
-BH Online
No comments:
Post a Comment