Polis berkata, lelaki itu mendakwa membawa ‘bahan letupan’ dalam beg galasnya, menakutkan penumpang dan mencetuskan huru-hara.
SYDNEY: Seorang warga Australia didakwa membuat ancaman bom palsu dalam penerbangan ke Malaysia, menakutkan penumpang dan menyebabkan ruang udara negara itu huru-hara.
Polis berkata, pesawat Malaysia Airlines MH122 dari Sydney ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik tengah hari semalam selepas seorang penumpang mendakwa membawa “bahan letupan” dalam beg galasnya.
Menurut polis, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan sejurus pesawat itu mendarat di Sydney dan didakwa atas satu tuduhan membuat kenyataan palsu mengenai ancaman untuk merosakkan pesawat.
Pihak berkuasa sebelum ini menegaskan kejadian itu “tidak membawa ancaman kepada komuniti”, walaupun ia menyebabkan 32 penerbangan domestik terpaksa dibatalkan dan penerbangan lain tergendala lama.
Polis Australia berkata, lelaki itu juga didakwa atas satu tuduhan tidak mematuhi arahan keselamatan kru kabin.
“Polis tidak boleh mendedahkan perkara berkaitan operasi ini. Tetapi, pelan tindak balas kecemasan dibuat dan pemindahan dimulakan selepas ia dianggap selamat untuk kru dan penumpang.”
Semalam, media melaporkan penerbangan MH122 dari Sydney ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik susulan “kekecohan” dicetuskan seorang penumpang.
Dalam video tular, lelaki itu dilihat memarahi kru kabin yang dipercayai cuba menenangkannya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, juruterbang Airbus A330 memutuskan untuk berpatah balik ke Sydney.
Malaysia Airlines dalam kenyataan berkata, pesawat membawa 194 penumpang dan lima kru itu selamat mendarat di Sydney.-FMT
No comments:
Post a Comment