Kesemua 10 mayat mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, telah ditemukan.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata mayat kesemua mangsa dan lima bungkusan serpihan badan telah ditemukan setakat 10.30 malam ini.
“Ini merupakan pencarian yang pertama dan mayat yang dijumpai ini akan dibawa ke Hospital Klang (Hospital Tengku Ampuan Rahimah) malam ini untuk dimulakan proses bedah siasat dan pengecaman yang akan dilakukan oleh pihak hospital.
“Polis juga akan sambung pencarian kedua selepas berehat sebentar malam ini sekiranya ada lagi (cebisan badan) yang tertinggal dalam pencarian pertama,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.
Beliau juga percaya proses pengecaman dan bedah siasat akan selesai pada pagi atau tengah hari esok bergantung kepada proses analisis DNA.
Hussein berkata proses pengecaman mayat pertama oleh pihak polis, yang dipercayai penunggang motosikal, telah selesai pada 6 petang tadi.
Selain itu, beliau berkata Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) berjaya menemukan perakam suara kokpit (CVR) pesawat malang tersebut pada 10.20 malam.
CVR itu, yang merupakan sebahagian daripada komponen kotak hitam, telah dibawa oleh BSKU ke makmal untuk dianalisis.
“Kotak hitam itu ada dua komponen iaitu perakam data penerbangan (FDR) dan CVR. Pasukan BSKU berjaya temukan CVR tadi pada 10.20 malam tadi manakala FDR masih belum ditemukan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai Datuk Seri Johari Harun adalah antara nama dalam senarai penumpang pesawat yang terhempas pada 2.40 petang itu.
Katanya turut tersenarai dua juruterbang iaitu Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim serta lima penumpang lain Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib.
Bagaimanapun, Loke berkata identiti dua lagi orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang terlibat dalam nahas itu akan disahkan melalui siasatan polis.
-SiakapKeli
No comments:
Post a Comment