Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini daripada empat pertuduhan guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta yang dikaitkan dengan Program Jana Wibawa.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin, membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan berkenaan.
Pada 18 April lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Memetik laporan Sinar Harian, Muhyiddin turut memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu selain berhasrat agar prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.
Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah berikutan tiada mana-mana satu pun mendedahkan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.
Ekoran kes ini, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu.
Pada 13 Mac lalu, Muhyiddin didakwa atas pertuduhan ketujuh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, selaku Presiden Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti itu.
-AstroAwani
No comments:
Post a Comment