PETALING JAYA – Seorang lelaki meninggal dunia sewaktu menunaikan solat asar berjemaah di sebuah masjid di Temerloh, Pahang dalam kejadian dipercayai pada 19 Ogos lalu.
Rakaman kejadian menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) itu dimuat naik di media sosial TikTok oleh seorang pengguna Mohammed Lotfi Osman.
Berdasarkan video tersebut, jemaah yang sedang solat ketika itu duduk di antara dua sujud serta diteruskan dengan sujud dan tahiyat akhir.
Lelaki itu pula kelihatan seolah-olah sedang menahan kesakitan dan selesai solat tersebut, beberapa jemaah datang membantunya selepas menyedari kejadian itu.
“Pemergian yang dicemburui. Dijemput pencipta ketika sedang solat asar. Sama-sama kita hadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham. Semoga rohnya ditempatkan bersama roh-roh orang beriman dan beramal soleh,” kata Mohammed Lotfi pada video itu.
Sementara itu, video tersebut mendapat maklum balas pelbagai daripada orang ramai termasuk seorang pengguna TikTok menggunakan akaun Ibrahim Rapie dipercayai adik kepada lelaki itu.
“Arwah adalah kekanda kami yang menetap di Kampung Paya Luas, Temerloh berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang. Terima kasih kepada semua yang menyantuni arwah dengan baik,” katanya.
“Al-Fatihah untuk abang sepupu saya. Rahman namanya dekat Temerloh, Pahang,” komen Mat Apit 07.
“Ayah kawan saya. Subhanallah, Allah jemput dalam rumah-Nya,” kata F@qir Kosong.
“Jiran lama kami dah mcm adik-beradik dengan mak abah. Al-Fatihah untuk Pakcik Man. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman soleh,” komen stmrmab. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment