JELEBU: Isu logo Hari Kebangsaan tidak sewajarnya diperbesarkan memandangkan ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi menjadi pembangkang, logo berbeza juga pernah digunakan, kata seorang aktivis PKR.
Aktivis politik PKR, Yuslaini Azmi, berkata pihaknya mengambil serius isu terkini yang sering dimainkan pihak tertentu berkenaan isu logo Hari Kebangsaan.
Katanya, namun begitu, tidak wajar isu berkenaan diperbesar memandangkan kerajaan ketika menjadi pembangkang sebelum ini pernah menggunakan logo berbeza berbanding Kerajaan Pusat.
"Saya memahami ada kekecewaan dilemparkan golongan atas pagar yang melihat isu logo ini hanya berbentuk politik sempit yang dimainkan kedua-dua belah pihak.
"Tidak wajar sekiranya kita melemparkan pihak lawan bersifat tidak patriotik apabila kita sendiri juga melakukan hal yang sama ketika menjadi pembangkang satu ketika dahulu.
"Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, adalah lebih baik kita menyuburkan semangat kemerdekaan dengan menunjukkan rasa cinta terhadap negara dengan membangunkan negara tercinta ini bersama-sama walau berbeza ideologi politik dan meraikan perbezaan yang ada.
"Bukankah Malaysia kaya dengan budaya, bangsa dan bahasa sejak sebelum merdeka lagi? Mengapa harus kita berpecah-belah hanya kerana konsep dan fahaman politik yang tidak sehaluan sedangkan kita kaya dengan kepelbagaian," katanya dalam satu kenyataan.
Yuslaini menyifatkan, logo bukanlah isu utama, sebaliknya perkara yang utama adalah bagaimana mahu memahami apa erti merdeka jika minda masih dijajah, kefahaman terhadap erti merdeka jika masih merayakan api kebencian di saat rakyat sepatutnya meraikan Hari Kemerdekaan dengan penuh rasa cinta dan berkasih sayang sesama kita sebagai warga negara Malaysia.
"Apakah fahaman politik ini perlu dijadikan kiblat untuk kita menghunus pedang pada lawan hanya kerana pendekatannya berbeza berbanding kita?" soalnya.
Yuslaini berkata, sebagai anak muda yang cintakan negara, dia tidak gemar bermain politik sempit hanya untuk mencari kesalahan pihak lawan sedang kita melakukan hal yang sama sebelum ini.
Katanya, jika diimbas kembali sebelum ini Kerajaan Selangor serta kerajaan negeri pembangkang sebelum ini juga memilih logo berbeza berbanding Kerajaan Pusat tidak pula menjadi pertikaian sebegini rupa.
"Anak muda perlu lebih besar daripada politik sebegini, sewajarnya kita menumpukan usaha memulihkan negara secara bersama bukan mencurah minyak pada api di bulan kemerdekaan sebegini.
"Saya mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama refleksi diri dan menghidupkan semangat kemerdekaan dengan berusaha bersama-sama memulihkan ekonomi serta mengangkat negara menjadi Harimau Asia di rantau ini apatah lagi tema pada tahun ini iaitu Tekad Perpaduan Penuhi Harapan mempunyai maksud yang mendalam.
Katanya, dalam setiap perbezaan, pasti ada persamaan dan yang penting walau berbeza ideologi dan fahaman politik, semua pada akhirnya adalah rakyat Malaysia.
-BH Online
No comments:
Post a Comment