KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan varian baharu COVID-19 BA.2.86 belum dikesan di negara ini.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata meskipun tiada jangkitan direkodkan, KKM akan membuat pemantauan berterusan bagi mengekang penularan varian itu.
Untuk rekod, WHO menyenaraikan varian BA.2.86 sebagai varian di bawah pemantauan (Variant Under Monitoring).
Varian terbabit mempunyai 36 mutasi berbanding dengan varian XBB.1.5.
Pada masa sama, beliau juga menggalakkan individu yang layak menerima vaksin COVID-19 digalakkan segera mendapatkannya.
"Langkah berkenaan sebagai perlindungan selain mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan keterukan gejala.
"Justeru KKM menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka terutama mereka bergejala atau apabila berada di tempat tertutup, sempit dan sesak bagi melindungi keluarga, jiran dan sahabat handai daripada mendapat jangkitan COVID-19," katanya kepada BH, hari ini.
Sabtu lalu, Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) mengenal pasti varian baharu COVID-19 dengan 'bilangan mutasi yang tinggi' dikesan di Britain.
Mutasi BA.2.86 itu dikesan membabitkan seorang individu yang tidak mempunyai sejarah perjalanan baru-baru ini, sekali gus bermakna terdapat penularan ketara dalam komuniti.
Jujukan varian baharu COVID-19 itu kali pertama dikesan di Denmark pada 24 Julai lalu diikuti pada 31 Julai, iaitu hari sama ia ditemui di Israel. Satu lagi kes jangkitan varian yang sama di kesan di Amerika Syarikat (AS) pada awal bulan ini.
Varian itu juga dikenali sebagai 'Pirola' dan dikesan di empat negara setakat ini iaitu Denmark, Israel, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.
WHO turut memaklumkan lebih banyak maklumat mengenai varian itu perlu diperoleh termasuk kadar jangkitan atau tahap kerintangan imuniti.
-BH Online
No comments:
Post a Comment