Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya koyak selepas gagal menawan tiga negeri Perikatan Nasional (PN) selepas berakhir Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu lalu.
Perdana Menteri (PMX) seakan tidak boleh menerima kritikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memintanya agar letak jawatan sahaja susulan kegagalan pada enam PRN lalu yang menyaksikan negeri diperintah Pakatan Harapan (PH)-UMNO kehilangan banyak kerusi mereka.
“Kita kekal kemenangan tiga negeri, kita masih dapat dua pertiga majoriti ahli parlimen, dia buat perkiraan apa?
“Saya nasihatkan dia tumpun kes mahkamah,” kata Anwar ringkas dipetik laporan media.
Kenyataan tersebut hadir beberapa hari selepas keputusan PRN di enam negeri apabila Anwar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung episod memalukan kerajaan campuran gagal menawan tiga negeri PN.
Berhubung kes mahkamah dihadapi Muhyiddin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin lalu juga sudah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan dihadapinya.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan kesemua pertuduhan berkenaan.
Dalam penghakiman ringkasnya, Muhammad Jamil berkata, keempat-empat pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu adalah cacat, tidak berasas dan kabur.
“Mahkamah berpendapat pertuduhan yang dihadapi (Muhyiddin) tidak mendedahkan butiran kesalahan yang dilakukan menyebabkan tertuduh tidak dapat menyediakan arahan selanjutnya kepada peguam yang mewakilinya.
“Jika perbicaraan diteruskan akan menyebabkan Muhyiddin tidak dapat menyediakan pembelaan sewajarnya dan menjadikan pendakwaan terhadapnya sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah,” kata hakim itu.
Untuk rekod, pada 12 Ogos lalu Muhyiddin berkata, kemenangan PN di kerusi majoriti Melayu dan kawasan campuran membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan masyarakat bukan Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan.
Muhyidddin turut menyifatkan Kerajaan Persekutusan yang diterajui Anwar bersama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai gabungan politik rapuh serta perpaduan palsu.
“Maka benarlah pilihan raya negeri ini adalah satu referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi yang menerajui gabungan ini mesti mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dengan serta merta,” katanya semasa sidang media sebelum ini.
Pada PRN lalu kerajaan campuran dan PN mengekalkan status quo dengan masing-masing mendapat kemenangan di negeri yang ditadbir sebelum ini.
Bagaimanapun jumlah sokongan dan jumlah kerusi yang dimenangi PN meningkat terutama di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Selangor.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment