Jeniri Amir berkata Anwar Ibrahim tidak lagi boleh bergantung kepada Barisan Nasional yang mencatat prestasi buruk pada pilihan raya.
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menunaikan janji menghormati hak Sabah dan Sarawak semasa pembentukan Malaysia 60 tahun lalu.
Jeniri Amir berkata ini kerana blok dari Borneo itu boleh menjadi “kingmaker”, bukan lagi Barisan Nasional (BN) yang berdepan prestasi buruk apabila hanya menang 30 kerusi pada PRU15, terbaru memenangi 19 daripada 108 DUN pada PRN 12 Ogos lalu.
“Anwar tidak boleh lagi bergantung kepada BN kerana prestasi buruk mereka dalam pilihan raya mungkin berterusan, jadi blok Borneo akan menjadi kunci (bagi) Pakatan Harapan dalam PRU akan datang,” kata Felo kanan Majlis Profesor Negara itu kepada FMT.
Jeniri berkata, blok Borneo, kumpulan tidak rasmi gabungan Malaysia Timur dan parti yang menyokong Anwar, mungkin terus menyokong pengerusi PH itu sebagai perdana menteri jika beliau menunaikan janji dalam Perjanjian Malaysia (MA63).
“Apa saja yang termaktub dalam MA63 perlu ditunaikan dan amat penting bagi Anwar merapatkan jurang sosioekonomi antara Malaysia Timur dan Barat,” katanya.
Sejak menjadi perdana menteri November lalu, Anwar meningkatkan geran khas tahunan buat Sarawak dan Sabah, serta memberi dua negeri itu kuasa melaksanakan projek infrastruktur berjumlah sehingga RM50 juta di negeri masing-masing.
Anwar turut mengembalikan kuasa kawal selia bekalan gas kepada kerajaan Sabah.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata Anwar perlu menurunkan beberapa kuasa persekutuan seperti kesihatan awam dan pendidikan kepada dua negeri itu yang boleh disifatkan langkah bijak
“Kerajaan persekutuan boleh mengambil peruntukan untuk Sabah dan Sarawak di bawah belanjawan negara dan memberikannya kepada dua negeri itu bagi keperluan pendidikan atau kesihatan mereka,” katanya.
Namun beliau tidak percaya Putrajaya sedia memenuhi tuntutan Sabah dan Sarawak untuk satu pertiga kerusi Parlimen seperti termaktub di bawah MA63 kerana politik berpaksikan Malaya masih berkuasa.
“Tetapi, Anwar perlu menganggap pada dasarnya ia menguatkannya untuk menentang gelombang hijau kerana rakyat Malaysia Timur yang sederhana mempunyai kerusi lebih banyak di Parlimen,” katanya merujuk kebangkitan politik Perikatan Nasional.
Ketika ini, Sabah dan Sarawak menguasai 56 kerusi di Dewan Rakyat, satu perempat daripada 222 kerusi Parlimen.-FMT
No comments:
Post a Comment