Kuala Lumpur: Kerajaan masih mengekalkan harga ayam RM9.40 sekilogram bagi ayam standard dan RM10.40 sekilogram bagi ayam super di Semenanjung Malaysia sejak 12 Oktober tahun lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, jika peniaga menjual ayam standard dan ayam super melebihi dari harga kawalan ditetapkan, ia menjadi satu kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 .
"Pengguna digalakkan membuat aduan di pelbagai saluran aduan rasmi KPDN jika mereka mempunyai maklumat berkenaan peniaga yang menjual ayam standard dan super melebihi harga kawalan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kepada laporan disiarkan sebuah akhbar bertajuk 'Kadang-kadang turun, tapi selalunya naik'.
Beliau berkata, tajuk berkenaan mengundang keresahan dalam kalangan pembaca dan pengguna, malah laporan yang diberikan tidak menggunakan data yang betul dan terkini.
"Justeru, KPDN ingin mengambil kesempatan ini untuk memurnikan beberapa kekeliruan yang terbit dari laporan dan tajuk tersebut.
"Terima kasih kepada wartawan yang memetik bahawa harga ayam bulat standard dan super termasuk di bawah harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan sejak 12 Oktober 2022 dan masih berkuat kuasa hingga ke hari ini," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan pemantauan pihak penguat kuasa dan lebih 900 pegawai pemantau harga KPDN setiap hari membabitkan hampir 1,500 premis iaitu pasar basah, pasar raya, pasar mini dan kedai runcit di seluruh Malaysia, data yang KPDN peroleh hasil dari tindakan pemantauan harga seluruh negara menunjukkan bahawa dalam dua minggu kebelakangan ini iaitu dari 12 Ogos sehingga 26 Ogos, harga purata ayam standard di semenanjung Malaysia menunjukkan penurunan sebanyak 0.33 peratus.
Katanya, harga purata ayam standard di Semenanjung pula pada 12 Ogos iaitu RM8.73 sekilogram menurun kepada RM8.70 sekilogram pada 26 Ogos.
Di Sabah dan Sarawak pula katanya, menunjukkan penurunan harga purata iaitu 0.12 peratus di Sabah iaitu dari RM 11.30 sekilogram kepada RM11.29 sekilogram, manakala di Sarawak turun sebanyak 0.47 peratus iaitu dari RM10.28 sekilogram kepada RM10.23 sekilogram bagi tempoh yang sama.
"Oleh itu KPDN berharap wartawan menghubungi KPDN untuk mendapat data yang tepat dan terkini untuk mengelakkan kekeliruan dan mungkin membangkitkan keresahan dalam kalangan pengguna.
"Artikel tersebut merujuk kepada statistik Indeks Harga Pengguna (IHP) bulan Februari 2023 keluaran Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) dan membandingkan dengan data bulan yang sama 2022 sedangkan data terbaru sehingga Julai 2023 pun dikeluarkan oleh DOSM.
"Untuk makluman, harga purata ayam standard di pasaran pada Februari 2023 adalah stabil pada harga kawalan dan trend penurunan mula dilihat mulai Julai sehingga Ogos lalu dengan harga purata terendah dicatatkan pada 4 Ogos di Semenanjung iaitu RM8.11 sekilogram.
"Selari dengan itu juga, kadar inflasi terus mereda berserta dengan IHP berada dalam jajaran menurun," katanya.
Fuziah berharap, orang ramai menjadi pengguna yang bijak dengan membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum berbelanja.
Untuk itu katanya, pengguna disarankan untuk menggunakan aplikasi PriceCatcher untuk mendapatkan maklumat terkini harga barangan keperluan harian di premis jualan di kawasan masing-masing.
"Pengguna juga boleh memainkan peranan dan menggunakan hak pengguna dalam menyalurkan maklumat dan aduan sekiranya didapati peniaga yang tidak patuh kepada harga kawalan," katanya.
Orang ramai yang mendapati peniaga tidak patuh kepada harga kawalan boleh membuat aduan kepada KPDN melalui WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000; portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; e-mel (e-aduan@kpdn.gov.my); Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN; Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245 dan Kod QR Aduan Suri.
-myMetro
No comments:
Post a Comment