Petaling Jaya: Menjadi pempengaruh atau influencer tidak semudah yang ditonton di media sosial malah memerlukan komitmen tinggi, kesabaran, kemahiran menyelesaikan masalah dan berilmu.
Jika hanya berbekal keyakinan dan impian tanpa ada sandaran ilmu serta kemahiran, sangat sukar untuk mengecapi kejayaan.
Berkongsi perkara itu, pempengaruh, Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming berkata, menjadi pempengaruh bukanlah perkara yang mudah dan beliau mengambil masa lapan tahun untuk merasai kejayaan.
"Pempengaruh bukan sekadar mencipta kandungan malah memerlukan kemahiran menyelesaikan masalah, berfikir dan berkomunikasi. Semua perkara ini saya belajar.
"Saya faham mengapa ramai mahu menjadi content creator. Tapi bidang ini tidak semudah itu, banyak cabaran dan kita tidak mahu jadi content creator untuk sebulan dua saja.
"Jangan terburu-buru, kita kena lengkapkan diri dengan ilmu dulu. Jika sudah bersedia barulah tampil dan kongsikan ilmu kepada masyarakat," katanya yang berkelulusan Kejuruteraan Mekanikal dari universiti di Amerika Syarikat.
Khairul Aming berkata, beliau turut berkongsi kepayahan dalam menghasilkan kandungan apabila tidak mempunyai sebarang peralatan lengkap di rumah sewaktu mula menghasilkan video masakan.
"Awalnya saya banyak merakam video masakan juadah berbuka puasa di atas lantai dan menggunakan lampu yang dibeli di kedai hardware saja.
"Justeru saya menasihatkan kepada mereka yang berminat dalam bidang ini terutama golongan belia supaya melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran kerana mencipta kandungan bukan mudah seperti disangka," katanya yang memenangi kategori Creator of the Year di TikTok Awards Malaysia 2023, baru-baru ini.
Sementara itu, jutawan internet, Irfan Khairi berkata, menjadi pempengaruh media sosial bukan sekadar mengejar populariti semata-mata.
"Menjadi terkenal tidak akan kekal selamanya tapi apabila kita ada ilmu maka ia akan kekal membantu kita.
"Bidang ini bukan perkara mudah dan perlu sentiasa kuat terutama dengan kecaman. Dengan adanya ilmu, kita bukan saja dapat merancang dengan baik malah dapat mengawal diri daripada perkara negatif.
"Saya ada sebuah buku nota yang di dalamnya saya senaraikan sebanyak 20 hingga 30 idea dan saya akan lihat yang mana orang akan suka. Ini kerana walaupun hendak buat satu video memakan masa berjam-jam tapi dengan senarai itu saya dapat cipta lebih 1,500 kandungan di TikTok.
"Persoalannya sanggup atau tidak kita buat dengan konsisten atau sekiranya tidak mendapat tontonan yang tinggi adakah kita akan mengalah begitu saja?" katanya.
Pempengaruh TikTok, James Ng atau lebih dikenali sebagai Boss James berkata, menjadi pempengaruh memang kelihatan mudah kerana kos permulaan tidak begitu tinggi namun banyak ilmu diperlukan untuk mencipta sesebuah kandungan.
"Masa yang dilaburkan tidak akan kembali. Saya berkecimpung dalam bidang ini sudah empat tahun setengah. Bagi saya, cari rezeki yang tetap dulu dan jadikan kerjaya ini sebagai sampingan.
"Ilmu itu sangat penting, mungkin sekarang kita tidak nampak ke mana arahnya, tapi bila tiba satu tahap kita akan sangat memerlukan ilmu," katanya.
Dalam sebuah perkongsiannya di TikTok, James berkata, sewaktu memulakan bidang itu, beliau merakam video hanya menggunakan telefon saja tanpa menggunakan pembesar suara dan disunting sendiri.
"Ada ketika saya diejek dan dianggap melakukan perkara yang membuang masa.
"Bagi saya, setiap orang layak jadi content creator, tapi adakah benda ini sekadar minat atau kewangan. Kalau buat sekadar kewangan, kita akan miskin sebab dalamnya kosong dan pastikan kita kuat dalam menghadapi segala tekanan," katanya.
'Boleh raih hingga RM100k sebulan'
Kuala Lumpur: Pulangan tinggi serta kos permulaan rendah membuatkan ramai generasi muda tertarik untuk menjadi pempengaruh.
Ketua Pegawai Eksekutif KamiSempoi International Agency (KSIA), To Chin Swee, 36, atau lebih dikenali sebagai Pakcik Chin Swee berkata, pulangannya boleh mencecah RM300 hingga ke RM100,000 sebulan.
"Biasanya kandungan bersifat hiburan akan mendapat pulangan yang tinggi. Tapi pulangan ini bergantung kepada kandungan yang dicipta dan melihat kepada konsistensi seseorang pempengaruh.
"Dulu jika mahu mendapatkan pendapatan lebih kena buat jualan dan pemasaran tapi sekarang perkara itu mula beralih ke arah sosial media.
"Saya juga berpesan kepada semua pempengaruh agar tidak melakukan kandungan yang berunsur publisiti murahan. Kita kena membina perkara yang positif agar memberi kesan baik kepada masyarakat," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, KSIA menyediakan latihan kepada mereka yang berminat untuk membina kerjaya dalam bidang sosial media khususnya di TikTok dan sehingga kini terdapat lebih 1,000 pencipta kandungan berada di bawah agensi itu.
"Menjadi pempengaruh bukan perkara mudah, tapi kita harus percaya pada diri, sentiasa mendapatkan restu ibu bapa dan paling penting adalah pendidikan.
"Pendidikan ini amat penting untuk kita memahami bagaimana sesebuah aplikasi itu digunakan serta bagaimana mahu menguruskan masa dengan baik," katanya.
Sementara itu, seorang remaja yang berminat menjadi pempengaruh, Amirul Amin Abdullah Sani, 18, yakin kerjaya itu boleh dijadikan pekerjaan tetap tetapi perlu konsisten dan bergantung pada niat.
"Apabila bergelar pempengaruh, saya berpendapat kita bertanggungjawab dalam memberikan ilmu berguna agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan bukan sekadar mengejar kewangan semata-mata.
"Ilmu bukan saja penting untuk bidang content creator malah dalam setiap aspek kehidupan. Sekiranya baik yang ditunjukkan maka ia akan kekal menjadi ibadah berpanjangan pada kita," katanya.
Seorang lagi remaja yang mahu dikenali sebagai Zul, 18, berkata, bidang mencipta kandungan sangat luas dan jalan yang sukar untuk meraih kejayaan sekiranya tidak dapat menarik atau memahami kehendak dan kemahuan pengguna media sosial.
"Tapi ini platform yang baik serta mudah untuk diakses. Jika menjadi pempengaruh, kita bebas mengatur masa sendiri tanpa perlu terikat dengan sesiapa pun.
"Bagaimanapun, ilmu dan usaha yang keras menjadi tunjang utama bukan saja kepada mereka yang ingin menjadi pempengaruh akan tetapi dalam apa jua bidang," katanya.
-myMetro
No comments:
Post a Comment