KUALA LUMPUR: Siasatan secara menyeluruh masih dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) mengenai kejadian kekasaran di hadapan pintu masuk sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di pantai timur membabitkan anggotanya.
Pengarah JIPS, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, jika terdapat salah laku dikesan dalam insiden itu, JIPS semestinya akan menjalankan siasatan.
Malah, kata beliau, jika kes berkenaan dikatakan tohmahan juga akan disiasat untuk mengetahui betul atau tidak.
“Begitu juga, jika siasatan dapati ada unsur jenayah, maka ia akan disiasat mengikut sudut jenayah sehingga membawa kepada pertuduhan.
“Ia berbeza dengan kesalahan tatatertib di mana mereka boleh dikenakan tindakan seperti surat amaran, denda dan dibuang kerja.
“Kita tidak akan berkompromi tetapi orang ramai juga perlu adil kepada polis di mana kita akan buat yang terbaik,” katanya selepas Majlis serah terima tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, tular satu video berdurasi 14 saat memaparkan kejadian seorang penunggang motosikal bersama bendera parti di badan dikasari dua individu di hadapan sebuah balai polis.
Video itu turut menunjukkan lelaki di atas motosikal ditumbuk oleh seorang individu, manakala seorang lagi menyeretnya turun dari motosikal dan dibawa menuju ke dalam pekarangan balai.
Malah, seorang lagi individu bertindak menaiki dan membawa motosikal mangsa ke balai.
Kelmarin Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, siasatan akan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, siasatan kes itu bukan sahaja akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam, siasatan dalaman turut akan dijalankan oleh pihak JIPS.
Polis Kelantan sebelum ini memaklumkan sedang menjalankan siasatan insiden itu yang dilaporkan berlaku di pekarangan sebuah balai di Kota Bharu malam tadi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, dilaporkan berkata kejadian itu dipercayai berpunca oleh provokasi yang dilakukan satu pergerakan konvoi secara bersendirian yang membawa bendera parti dan membuat bising.-UTUSAN
No comments:
Post a Comment