Tiada permohonan maaf akan dibuat kepada Tan Sri Vincent Tan dan Berjaya Land Berhad, kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menteri Besar Kedah sementara itu berkata proses mahkamah sedang berjalan dan setakat ini tidak akan meminta maaf kepada taikun terkenal tersebut.
“Tak akan (minta maaf)…kes itu masih berkembang dan dokumen sedang diserahkan, jadi kita tengok sehari dua lagi,” katanya dipetik laporan BH.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tuntutan permohonan maaf secara terbuka yang dikemukakan tokoh korporat itu bersama dan Berjaya Land ke atasnya.
Selain itu, pihak berkenaan turut menuntut pampasan ganti rugi RM200 juta daripada Sanusi susulan dakwaan Menteri Besar itu yang dikatakan membuat kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).
Sanusi dikatakan menyampaikan ucapan berbaur politik, fitnah, palsu, tidak berasas dan tanpa bukti bertujuan menggugat Vincent Tan dan Berjaya Land secara langsung atau tidak langsung berkaitan projek terbabit ketika ‘Jelajah Mega Perikatan Nasional (PN) Best’ dan ‘PN Best Sayangi Kedah Sejahtera Mega Tour’ pada 2 Ogos lalu.
Dalam perkembangan berasingan Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN menganggap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sewajarnya mengumumkan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) ketika hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir.
“Tak patut (umum dekat pilihan raya)…kalau tak ada pilihan raya tak boleh buatkah?
“Buatlah di luar musim pilihan raya, ini nampak sangat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengundi terutamanya pesawah yang bakal menerima subsidi itu supaya menerima bantuan Kerajaan Persekutuan berkenaan, namun tetap mengundi PN pada 12 Ogos ini.
Beliau berkata, langkah itu dilihat sebagai cara ‘menghalalkan’ bantuan berkenaan atau ia boleh dianggap sebagai rasuah menjelang PRN kali ini.
“Kalau dari segi pesawah sudah tentu mereka ucap terima kasih (kepada PMi), tapi saya nak pesan kepada pesawah, duit tu dapat terima tapi undi PN,” katanya lagi.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment