INFOGRAFIK antara tawaran utama PN Selangor.
KUALA SELANGOR: Tawaran Perikatan Nasional (PN) meliputi golongan nelayan, peniaga dan murid Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) disifatkan sebagai menyeluruh dalam menjaga kebajikan dan sosioekonomi rakyat Selangor.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar daerah ini dan Sabak Bernam mendapati pelbagai pihak memberi reaksi positif mengenai tawaran bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ itu.
Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Selangor, Omar Abdul Rahman berkata, Inisiatif Bantuan Prihatin Nelayan Selangor berjumlah RM5 juta setahun yang ditawarkan mampu meringankan beban golongan itu yang bergantung sepenuhnya dengan hasil tangkapan laut.
Katanya, terdapat 5,000 nelayan berdaftar di lima kawasan negeri ini meliputi Sepang, Kuala Langat, Pelabuhan Klang, Kuala Selangor dan Sungai Besar.
“Namun, tidak semua daripada mereka mendapat bantuan seperti enjin bot dan peralatan akuakultur kerana hanya diberikan kepada yang berlesen. Justeru, tambahan nilai bantuan dalam tawaran itu jelas mampu membantu meringankan beban nelayan,” katanya.
Bagi nelayan, Ismail Muskam, 55, golongan itu berdepan sumber pendapatan tidak menentu dengan kos sara hidup kian meningkat.
“Tawaran seumpama itu sememangnya amat diharapkan terutama bantuan bagi jaring dan pukat,” katanya.
Dalam pada itu, bekas guru, Asit Udin Ahmad, 62, menyifatkan inisiatif menyediakan bantuan yuran KAFA sebanyak RM6 juta setahun kepada murid kurang berkemampuan amat bertepatan pada masanya.
“Yuran yang dikenakan antara RM100 hingga RM300 mungkin dianggap biasa namun ia membebankan keluarga kurang berkemampuan. Oleh itu, bantuan yuran berkenaan perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada berlaku keciciran murid dalam pendidikan KAFA di negeri ini,” ujarnya.
Bagi Izzatul Sudin, 33, pendidikan KAFA amat penting bagi golongan muda kerana ia merupakan asas pendidikan agama Islam.
“Kita tidak mahu faktor ketidakmampuan membayar yuran menyebabkan ada daripada ibu bapa tidak mengendahkannya,” katanya.
Dalam pada itu, peniaga makanan, Noriah Mohamed Idris, 56, pengecualian Fi selama lima tahun menerusi tawaran itu semestinya akan memberi kelegaan kepada golongan tersebut.
“Umum mengetahui isu peningkatan kos atau harga bahan mentah di pasaran yang amat dirasai ketika ini. Pengecualian fi lesen penjaja, gerai dan pasar itu dinantikan kerana membantu peniaga mengurangkan lagi kos perniagaan,” luahnya.
Bagi peniaga, Siti Zuliyana Jamaludin,18, inisiatif itu disokong kerana mampu menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi bidang perniagaan.
“Selain meringankan beban, kos fi yang dijimatkan menerusi tawaran itu dapat digunakan sebagai modal sampingan. Ia juga membantu merancakkan lagi ekonomi negara dengan penyertaan lebih ramai anak muda menceburi profesion perniagaan,” ujarnya. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment