Label “pakatan korup” dibuat seorang pemimpin berpengaruh DAP terhadap UMNO adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akar umbi, malah ia dianggap satu penghinaan yang besar.
Malangnya, pemimpin utama UMNO yang dahulu lantang dan berani melawan, kini nampaknya sudah membisu dan tidak berani selepas sedap mendapat jawatan di singgahsana.
Pemimpin utama UMNO menelan setiap kutukan dibuat DAP terhadap mereka, malah permohonan maaf yang dituntut semasa Perhimpunan Agung lalu juga tidak dilayan dan ia satu lagi kemaluan yang terpaksa ditanggung akar umbi UMNO.
Apabila kenyataan “pakatan korup” dibuat terhadap UMNO, ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa kehadiran parti itu dalam kerajaan campuran tidak lebih sekadar penumpang dan terpaksa tunduk walaupun pelbagai penghinaan dibuat terhadap mereka.
Alasan kononnya Tony Pua tidak mempunyai sebarang jawatan dan kenyataan dibuatnya bukan pendirian parti adalah tidak boleh diterima, walhal umum mengetahui peranan sebenarnya pemimpin DAP tersebut.
Pua dilihat berpengaruh dan mempunyai sokongan dalam parti, malah dilihat rapat dengan pemimpin atasan parti tersebut.
Sebelum ini, Pua juga pernah memegang jawatan Setiausaha Publisiti DAP dan pernah menjadi pegawai di kementerian kewangan kepada Lim Guan Eng.
Ucapan Pua semasa berada dalam satu program bersama ratusan penyokong DAP Selangor dalam mencari dana kutipan untuk kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) secara tidak langsung menunjukkan mesej yang cuba disampaikan kepada penyokong parti itu adalah mereka lebih berpengaruh dan mempunyai kuasa yang lebih dalam kerajaan campuran.
DAP perlu menunjukkan kepada akar umbi dan penyokong utama mereka walaupun sudah bersama UMNO tetapi mereka sebenarnya adalah kuasa utama dalam kerajaan campuran.
Di Selangor dan Pulau Pinang, DAP tidak boleh kehilangan penyokong teras mereka dan perlu menunjukkan lebih berkuasa daripada UMNO.
Adakah kenyataan Pua itu dibuat secara tidak sengaja? Mustahil ia dibuat secara tidak sengaja melainkan hanya mahu menunjukkan kekuasaan dan dominasi parti itu dalam kerajaan campuran.
Ini bukan kali pertama UMNO dihina sebegini rupa, sebelum ini Naib Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari juga mengkritik mereka dengan mengatakan peranan UMNO menarik sokongan orang Melayu masih tidak jelas memandangkan peranan tersebut kini dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).
Aziz berkata berkata UMNO kini sedang berusaha meneruskan kelangsungan parti itu dan hanya menumpang Pakatan Harapan (PH) untuk mendapatkan jawatan sahaja bagi membolehkan parti itu terus bergerak.
Terbukti, UMNO kini hanya meneruskan kelangsungan hidup untuk mendapatkan jawatan dengan terus berada dalam kerajaan campuran dan sebarang kecaman DAP terhadap mereka terpaksa ditelan walaupun pahit untuk diterima.
Walaupun sakit hati, pemimpin utama UMNO lebih takut hilang jawatan daripada membalas kecaman dibuat DAP terhadap mereka.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment