KUALA LUMPUR: Anak kepada bekas Perdana Menteri ke enam, Nooryana Najwa Najib menzahirkan rasa kecewa dengan jawapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada Isnin telah mempertahankan keputusan Mahkamah Persekutuan, bahawa Hakim Nazlan tidak mempunyai konflik kepentingan.
"Saya amat bimbang dengan penemuan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan. Seolah-olah apabila seseorang itu didakwa atas kesalahan mencuri, pihak pendakwa tidak perlu membuktikan dari mana wang yang didakwa dicuri itu." ujar Yana
Sebelum ini Mahkamah Persekutuan memutuskan tiada keperluan untuk membuktikan secara khusus laluan dana SRC dalam menentukan sama ada berlaku penyelewengan dalam SRC. Mahkamah menganggap sumber dana itu tidak relevan.
Mahkamah Persekutuan juga berpendapat, pihak pendakwaan tidak perlu menyediakan bukti jalinan langsung sumber wang yang dikatakan haram kepada SRC untuk membuktikan terdapat penyalahgunaan dana daripada SRC. Mahkamah juga menganggap asal-usul dana (haram) itu tidak penting dalam perkara ini.
"Bolehkah anda bayangkan betapa mudahnya untuk memfitnah orang lain jika kaedah ini turut diguna pakai untuk kes lain?
"Hujah ini turut mengecewakan saya - bagaimana jawatan Hakim Nazlan dalam Maybank sebelum ini tidak mewujudkan potensi konflik kepentingan sedangkan institusi kewangan tersebut terlibat dalam kes ini. Dan bagaimana anda hendak membuktikan kes penggubahan wang haram apabila sumber wang haram tersebut tidak penting dalam pendakwaan?
"Ini sebuah situasi yang janggal dalam sistem keadilan Malaysia. Beliau (Hakim Nazlan) adalah Penasihat Am Maybank, dan Maybank dikaitkan langsung dengan SRC.
"Walaupun tiada kesalahan jenayah ditemui, adalah penting untuk diakui bahawa SPRM dan Ketua Peguam Negara percaya Hakim Nazlan telah melanggar kod etika hakim dalam mengendalikan kes SRC.
Sebelum ini Ketua Peguam Negara telah mengarahkan SPRM menghantar satu surat rasmi dan melaporkan perkara ini kepada Ketua Hakim Negara, dan turut menggesa agar tindakan sewajarnya dikenakan terhadap Nazlan.
Menurut Yana, jika tindakan Nazlan didapati melanggar kod etika hakim, ia menimbulkan kebimbangan serius tentang kesahihan keputusannya berhubung kesalahan Najib dalam kes SRC.
Ujarnya lagi, keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan tetapi juga mesti dilihat telah dilaksanakan. Ini bagi memastikan proses kehakiman yang adil dan saksama untuk semua pihak yang terlibat.
"Justeru, kami dengan rendah hati memohon siasatan menyeluruh terhadap perkara ini untuk menegakkan integriti badan kehakiman dan memulihkan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan.
"Matlamat kami adalah untuk memastikan keadilan ditegakkan dan hak semua individu, termasuk bapa saya Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, dilindungi mengikut prinsip sistem perundangan yang adil dan saksama."ujar Yana.
-tuncarlos.com
No comments:
Post a Comment