Bekas Ahli Parlimen Wee Choo Keong (kiri) mahu Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menjelaskan pelantikan Chester Voo (kanan) dalam lembaga CAAM.
PETALING JAYA: Seorang bekas Ahli Parlimen mempersoalkan pelantikan seorang eksekutif penerbangan dalam Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), mendakwa wujudnya konflik kepentingan.
Wee Choo Keong juga mendakwa pelantikan Chester Voo dalam lembaga pengawal selia penerbangan melanggar Akta CAAM 2017.
Voo ialah ketua pegawai eksekutif (CEO) penerbangan kumpulan bawah Berjaya Land. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai CEO CAAM antara 2020 dan 2022.
“CAAM ialah pihak berkuasa yang mengawal selia industri penerbangan, jadi bagaimana seorang CEO syarikat penerbangan boleh jadi ahli lembaganya?” persoal Wee.
Wee berkata, Seksyen 5(4)(a) Akta CAAM menyatakan bahawa “tiada seorang pun boleh menjadi ahli Pihak Berkuasa jika dia kini memegang jawatan atau pekerjaan dalam atau berkaitan dengan penerbangan.”
Pengecualian boleh dibuat jika individu tersebut dilantik sebagai “wakil” Kementerian Pengangkutan. Bagaimanapun, kata Wee, tiada tanda-tanda menunjukkan Voo dilantik sebagai wakil kementerian.
Beliau meminta Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menjelaskan perkara itu.
Jika Voo dilantik sebagai wakil kementerian, maka kerajaan perlu memastikan Berjaya Land tidak mendapat kelebihan tidak adil berbanding pesaingnya, kata Wee.
“Tidak digalakkan melantik kakitangan sebuah syarikat penerbangan untuk menganggotai lembaga pengarah CAAM. Loke mesti bersedia untuk menghadapi tuduhan wujudnya konflik kepentingan dan ketidakadilan,” kata Wee.
Pada Februari, Berjaya Land Bhd mengumumkan Voo dilantik sebagai CEO penerbangan kumpulan. Menurutnya, Voo akan “menyelia syarikat penerbangan bawah Berjaya, iaitu Berjaya Air, Asia Jet dan Rafflesia Airways”.
FMT telah menghubungi CAAM, Voo dan Loke untuk mendapatkan komen.-FMT
No comments:
Post a Comment