MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) mengumumkan bekas ahli parlimen PKR, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman sebagai pengerusi baharunya berkuat kuasa 22 Jun.
Untuk rekod, Fauzi merupakan bapa kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri (PMX), Ahmad Farhan Fauzi yang sedang berkhidmat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.
MyHSR Corp ialah sebuah syarikat kerajaan yang ditubuhkan pada 2015 untuk membangunkan projek kereta api laju (HSR) yang telah terhenti lama.
Dalam satu kenyataan hari ini, firma itu berkata Fauzi akan memikul peranan penting dalam merealisasikan matlamat kerajaan untuk menswastakan projek itu.
“Dengan kelayakan yang sempurna dalam bidang kejuruteraan dan telah berkhidmat dalam lembaga pengarah pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta, Fauzi akan memberikan bimbingan dan sokongan strategik kepada lembaga pengarah sambil memastikan MyHSR Corp memenuhi aspirasi kerajaan untuk menswastakan sepenuhnya projek HSR melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI),” kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal.
Fauzi merupakan bekas ahli parlimen Indera Mahkota dan berkelulusan dalam bidang kejuruteraan perlombongan dari Imperial College of Science and Technology, University of London.
Dia juga pernah berkhidmat sebagai jurutera di beberapa entiti kerajaan dan swasta sebelum ini.
Ini adalah kali kedua Fauzi dilantik dalam GLC berkaitan kereta api.
Sebelum ini dia merupakan pengarah di Malaysia Rail Link Sdn Bhd dari 2018 hingga 2021.
Fauzi kini merupakan penasihat PKR Pahang.
Projek HSR pada asalnya menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura.
Bagaimanapun, kerajaan menamatkan perjanjian dengan Singapura pada 2021.
Kerajaan sekarang berpendirian projek itu hanya akan disambung semula jika dibiayai pihak swasta.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment