SHAH ALAM – Datuk Lokman Noor Adam wajar dikekalkan dalam UMNO kerana peranannya boleh memusnahkan imej parti itu pada rakyat, kata aktivis politik pro Perikatan Nasional (PN), Badrul Hisham Shahrin.
Beliau yang lebih dikenali dengan nama Che’guBard mendakwa, Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO itu merupakan suara kehancuran kepada parti berkenaan, yang kini dalam usaha memulihkan imej selepas jatuh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Saya kenal Lokman lama, ketika kami sama-sama dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) lagi. Malah, rakan-rakan yang mengangkatnya dalam UMNO ada datang jumpa saya mengadu pasal beliau.
“Tetapi, saya kata, kita jangan sentuh dia, biarlah dia berada di situ (UMNO). Dia adalah kehancuran dan titik lemah UMNO.
“Saya kata lagi, kalau dia pernah buat masalah dalam PKR sebelum ini, dia akan buat masalah lagi dalam UMNO,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Lokman bahawa UMNO seperti memikul biawak hidup parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC termasuk parti yang tidak menyumbang kepada kemenangan BN sejak kebelakangan ini.
Kenyataan itu membangkitkan kemarahan pemimpin MCA terutama Ketua Wanitanya, Pamela Yong yang menyifatkan Lokman telah mengkhianati semangat kerjasama yang telah diilhamkan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan.
Turut menyindir Lokman ialah Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker yang secara sinis mengucapkan tahniah kepada DAP kerana kini mempunyai Lokman selaku MKT UMNO sebagai jurucakap dan pembela parti itu.
Lian Ker bagaimanapun dengan tegas mengingatkan Lokman agar jangan bersikap biadab seperti DAP yang pernah menggelarkan MCA sebagai ‘anjing UMNO’.
“Bertaubatlah dan janganlah mengaibkan lebih-lebih lagi rakan seperjuangan,” kata Lian Ker dalam kenyataan media semalam.
Mengulas lanjut, Che’guBard mendakwa, walaupun Lokman banyak membuat tuduhan secara peribadi ke atasnya, namun beliau secara peribadi juga mahu bekas rakan sejawatannya dalam PKR itu terus kekal dalam UMNO.
“Bagus dia berada di situ, dan dengar cakap saya, apa yang dia buat itu seperti bela DAP dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebab dia perasan dia akan angkat sumpah sebagai Senator.
“Tapi, kalau dia tak dapat jawatan itu, dia akan lawan (DAP dan Anwar) balik. Anwar kena ingat, Lokman (satu hari nanti) akan lawan kamu,” dakwanya. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment