Kuala Lumpur: Pernah menyertai misi Black Hawk Down di Mogadishu, Somalia pada 3 dan 4 Oktober 1993 menjadi pemangkin semangat buat bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sarjan (B) Mohd Zulkarnain Othman, 52, untuk terus 'berjuang' dalam kehidupan.
Dia yang hilang deria pendengaran akibat terkena bahan letupan dalam misi terbabit tidak patah semangat untuk meneruskan kehidupan apabila kini menjadi usahawan berjaya.
Bekas anggota Kor Armor Diraja (KAD) itu dibimbing Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) untuk menjalankan perkhidmatan percetakan dan perkhidmatan fotografi.
Mohd Zulkarnain menganggap persaraan sebagai ruang untuk menimba pengalaman dan pengetahuan dalam kerjaya baharu.
"Sejak bertugas sebagai anggota tentera lagi, saya sudah mula berjinak dan minat dalam bidang fotografi dengan membantu rakan tentera di bahagian media.
"Bidang kerjaya sekarang sangat berbeza dengan bidang tentera terutama daripada segi perhubungan dan cara percakapan.
"Sebagai tentera, saya perlu bercakap dengan tegas, tetapi sebagai orang awam saya perlu berlemah lembut dan bersopan santun lebih-lebih lagi dengan pelanggan," katanya.
Mohd Zulkarnain berkata, pengalamannya memegang senjata ketika terbabit dalam pelbagai misi dan pertempuran membolehkannya lebih berdisiplin selepas menceburi bidang keusahawanan.
"Macam-macam masalah saya kena fikir apabila menceburi kerjaya lain seperti sumber pendapatan, masalah dalam perniagaan kehendak pelanggan dan lain-lain.
"Saya kerja sambil mencari ilmu dan ilmu tu saya peroleh daripada pelbagai golongan, jadi di mana pun saya berada, saya perlu merendah diri," katanya.
Berkongsi kisah kejayaan sama, Koperal (B) Christina Nur Ahzlin Ahmad, 41, kini turut berjaya membuka dua premis perkhidmatan dobi.
Dia yang pernah menyertai misi menyelamat mangsa tsunami Aceh pada 2004 dan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada 2005 berkongsi resipi kejayaan dalam bidang keusahawanan.
"Dari tentera lagi saya sudah minat menguruskan pakaian sendiri, jadi bila dah bersara saya ambil kursus latihan peralihan yang saya minat.
"Perusahaan ini tidak memerlukan modal yang banyak dan risiko tidak tinggi kerana ia adalah keperluan seharian di kawasan bandar," katanya.
Berkhidmat dalam ketenteraan selama 15 tahun, Christina Ahzlin berkata, dia kini mengutamakan pelanggan dengan memberikan perkhidmatan dobi terbaik buat mereka.
"Sebagai tentera saya kena hormat pihak atasan, sebagai peniaga saya kena hormat pelanggan pelbagai peringkat dan layan mereka sehabis baik.
"Dari segi disiplin dalam kerja, menepati waktu dan kebersihan memang saya kekalkan sejak tentera, tapi dari segi perusahaan, saya perlu sediakan modal yang cukup dan tambah ilmu pengetahuan dalam perusahaan perkhidmatan dobi," katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Waran I (B) Mohamad Hasni Hassan, 50, berkata dia tidak menyangka dapat membuka restoran sendiri selepas 26 tahun berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
"Apabila saya bertugas sebagai kru kabin No 2 Skuadron VVIP Pangkalan Udara Subang, saya perlu membawa pembesar negara seperti Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Timbalan perdana Menteri.
"Jadi saya perlu mengenali pelbagai jenis makanan dan bagaimana untuk menghidangkan makanan tersebut mengikut cita rasa mereka," katanya.
Mohamad Hasni mula berkhidmat sebagai pelipat payung terjun TUDM (Markas Rejimen TUDM), Kuarter Master Udara di Pangkalan TUDM Butterworth, Pangkalan Udara Labuan dan menyertai pelbagai operasi seperti memadamkan api di hutan negeri Kedah sejak 1994 sehingga 2019.
Menurutnya, selepas memilih bidang perkhidmatan makanan dalam kursus Perhebat, dia mula mengasah minat dan kemahiran dalam memasak sehingga membuka restoran dengan resipi makanan sendiri.
Kehidupan selepas bersara ini amat mencabar kerana saya perlu menggunakan duit dalam pelbagai perbelanjaan seperti perbelanjaan kedai, sewa rumah, bil elektrik dan lain-lain.
"Tapi disebabkan saya bekas tentera, saya dapat mengharungi pelbagai cabaran dengan mental dan disiplin yang kuat," katanya.
Muhamad Hasni berkata, dia mempunyai lebih banyak masa terluang lebih-lebih lagi bersama keluarga selepas bersara.
"Tugas sebagai tentera bergantung kepada arahan, sama ada kita memberi arahan atau mengikut arahan, jadi saya perlu buat tanpa mengira masa.
"Apabila bekerja sendiri, saya boleh merancang aktiviti seharian dan mengikut rancangan tersebut tanpa sebarang masalah," katanya.
-myMetro
No comments:
Post a Comment